
PETALING JAYA – Warna terracotta dijangka menjadi tema pilihan pakaian raya bagi sambutan Aidilfitri tahun depan, selepas ia mencuri perhatian menerusi persalinan sedondon majlis resepsi Bella Astillah dan suami, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Berdasarkan perkongsian orang ramai di media sosial, ada yang sudah mula merancang untuk membeli pakaian raya berwarna terracotta selepas ‘teracun’ dengan keindahan busana pengantin baharu tersebut.
“Habislah kilang-kilang kain nak kena keluarkan warna terracotta untuk kain baju raya 2027. Bau-bau warna trend raya 2027. Tenggelam lah warna olive cherry, olive burgundy semua tu,” kata pengguna Thread Sarah Lee.
Hantaran itu mendapat pelbagai maklum balas daripada pengguna Thread, termasuk ada yang merancang untuk menukar warna tema raya mereka kepada terracotta.
“Aku dah mula rasa pressure (tertekan) ni, tolong,” komen Aini Norlyy.
“Lawa juga warna tu kan. Tengah cari warna baju raya ni, dah bosan warna yang biasa-biasa ni,” kata Hazlinaizi.
“Tolong lah keluar secepat mungkin. Sepupu kahwin hujung tahun ni, keluarga kena pakai terracotta. Jenuh mencari warna tu,” kata Athirahnajah.
“Haaa sudah lah. Mak aku dah tanya warna apa tu? Cantik jadi baju raya tahun depan,” kata Fiyawawa.
Terdahulu, majlis resepsi Bella Astillah atau nama sebenarnya, Dayang Ara Nabellah Awang Astillah dan Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec).
Mereka mengenakan busana dengan rona terracotta hasil rekaan pereka fesyen tersohor, Datuk Rizalman. – KOSMO! ONLINE
The post Tema raya tahun depan terracotta macam BASS appeared first on Kosmo Online.




