liza06/10/2026 - 15:02 Malacca Securities dilantik sebagai penasihat utama, penaja jamin dan ejen penempatan bagi cadangan penyenaraian tersebut Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Okt – Penyedia perkhidmatan kejuruteraan mekanikal dan elektrikal (M&E), SCA Solutions Berhad memeterai perjanjian taja jamin dengan Malacca Securities Sdn Bhd bagi cadangan penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.
Cadangan tawaran awam permulaan (IPO) itu melibatkan sebanyak 170.9 juta saham mewakili 30% daripada modal saham terbitan diperbesarkan SCA Solutions sebanyak 569.6 juta saham selepas penyenaraian.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 114 juta saham baharu akan diterbitkan oleh syarikat manakala baki 56.9 juta saham sedia ada akan ditawarkan oleh pemegang saham sedia ada.
Di bawah terbitan awam itu, sebanyak 28.5 juta saham baharu akan ditawarkan kepada orang awam Malaysia melalui proses undian.
Sebanyak 5.7 juta saham baharu pula diperuntukkan kepada pengarah dan pekerja Kumpulan yang layak.
Baki saham baharu akan ditawarkan melalui penempatan persendirian terdiri daripada 71.2 juta saham kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta 8.6 juta saham kepada pelabur terpilih.
Pada masa sama, sebanyak 56.9 juta saham sedia ada akan ditempatkan kepada pelabur terpilih.
Dana IPO untuk perluasan operasi
Pengarah Urusan SCA Solutions Berhad, Tan Cheng Eng berkata IPO berkenaan akan menjadi asas kepada usaha kumpulan untuk memperluas kepakaran dan keupayaan perniagaannya serta merebut lebih banyak peluang dalam pasaran.
Menurut beliau, SCA Solutions merupakan penyedia penyelesaian instrumentasi untuk sistem pemanasan, pengudaraan dan penyaman udara (HVAC), keselamatan kebakaran serta penyelesaian rawatan air bagi aplikasi HVAC.
Syarikat itu menyediakan penyelesaian bagi operasi bangunan dan infrastruktur, termasuk hospital dan pusat data.
Sebahagian besar hasil daripada IPO akan digunakan bagi membiayai pengembangan kumpulan, khususnya untuk membangunkan kemudahan bersepadu baharu di Kapar, Selangor.
Dana tersebut turut digunakan untuk memperkukuh kesiapsiagaan inventori serta memperluas capaian jualan dan pemasaran kumpulan.
Lebih 20 tahun pengalaman dalam industri
SCA Solutions mempunyai lebih 20 tahun pengalaman dalam industri dan mengendalikan projek membabitkan kemudahan kritikal termasuk hospital, institusi pendidikan, pusat data dan kilang semikonduktor.
Kumpulan itu turut mempunyai pengalaman dalam sektor pengangkutan rel serta projek infrastruktur lain serta mengendalikan keperluan teknikal bagi sektor kediaman, komersial dan perindustrian.
SCA Solutions kini memegang hak pengedaran bagi produk daripada 13 jenama global merangkumi pelbagai komponen dan aksesori instrumentasi HVAC serta keselamatan kebakaran.
Dengan cadangan IPO itu, SCA Solutions menyasarkan penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Securities pada suku keempat 2026 (4Q2026) tertakluk kepada keadaan yang tidak dijangka.
Malacca Securities dilantik sebagai penasihat utama, penaja jamin dan ejen penempatan bagi cadangan penyenaraian tersebut.- DagangNews.com





