
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sebelum ini kecoh di media sosial mengenai dakwaan usahawan, Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman telah terlibat dalam satu skim penipuan pelaburan.
Perkara berkenaan mula mendapat perhatian ramai selepas beberapa individu tampil membuat laporan berhubung wang simpanan milik mereka lesap selepas menyertai pelaburan yang didakwa patuh syariah itu.
Enggan berdiam diri, Mahadi akhirnya tampil menerusi satu sidang media hari ini (5 Mei) untuk memberi penjelasan dan menyangkal dakwaan berkenaan.
Mahadi hanya wakil perkenal peluang pelaburan
Mahadi yang juga suami kepada selebriti Datin Seri Heliza Helmi itu berkata, peranan beliau hanyalah sebagai wakil memperkenalkan peluang pelaburan berdasarkan maklumat serta jaminan yang diberikan oleh pihak syarikat terlibat.
Menurutnya, dia juga pernah melabur lebih RM20.7 juta dalam syarikat yang sama antara tahun 2021 sehingga 2023.
“Urusan pelaburan termasuk pembayaran dan penyerahan dokumen dilakukan secara langsung antara pelabur dan syarikat. Saya tidak pernah memegang wang pelabur atau terlibat dalam urusan kewangan mereka.
“Saya bukan lah pengasas dan bukan pemilik syarikat, saya hanyalah perantara jambatan yang menyambungkan pelabur kepada syarikat yang saya sendiri percaya pada waktu itu,” katanya dipetik Kosmo.
Mahadi terpedaya dengan struktur dan dokumentasi syarikat pelaburan itu
Menurutnya lagi, pelaburan tersebut dibuat berdasarkan keyakinan terhadap struktur dan dokumentasi yang kelihatan sah serta menyakinkan ketika itu.
“Kami diberi taklimat oleh pihak syarikat, lengkap dengan surat perjanjian, pengesahan penasihat syariah dan semua dokumen yang nampak teratur. Kalau tidak, saya sendiri tidak akan berani melabur sebanyak itu,” katanya lagi.
Jelas Mahadi, beliau kini menanggung beban rasa bersalah kerana telah memperkenalkan skim tersebut kepada ramai individu termasuk rakan dan kenalan rapat yang turut menjadi mangsa.
“Saya rasa sangat bersalah. Ramai kenal saya dan percaya kepada saya. Saya pula percaya kepada syarikat itu tapi akhirnya saya pun terkena.
“Saya jaga nama saya selama ini. Hari ini saya dikecam, dihukum di media sosial. Tapi saya tidak akan lari. Saya akan terus beri kerjasama dan bantu pelabur dapatkan keadilan,” ujarnya.
Berkongsi lanjut, beliau menyatakan telah membuat laporan polis dan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam siasatan yang sedang dijalankan.
Pada hujung minggu lalu, media melaporkan seorang influencer dikesan menjadi dalang satu skim yang telah memperdaya 140 pelabur dengan anggaran kerugian RM43 juta.
Bukan sahaja orang ramai, malah seorang pakar motivasi terkenal turut menjadi mangsa skim pelaburan patuh syariah berkenaan, lapor Berita Harian.
Sebagai info, pada Februari 2024, Mahadi pernah tersenarai dalam ‘Investor Alert List‘ oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) kerana syarikatnya didakwa melakukan aktiviti pelaburan tidak sah.
Source:


![“Kasih Hingga Syurga” – Si Ibu Tatap Pusara Anak Ketika Hujan Renyai Buat Ramai Sedih [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/family-and-parenting.jpeg)
![Tular Naik Skuter Eletrik Bertiga, JPJ Melaka Cari YouTuber [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/politics.jpeg)