SCIB sasar 25% keuntungan daripada sektor pembangunan hartanah

22 Sep 2026 • 6:16 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

SCIB sasar 25% keuntungan daripada sektor pembangunan hartanah Image from: SCIB sasar 25% keuntungan daripada sektor pembangunan hartanah liza22/09/2026 - 18:16 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 22 Sept – Sarawak Consolidated Industries Berhad (SCIB) merancang untuk mempelbagaikan perniagaannya ke sektor pembangunan hartanah dengan sasaran keuntungan 25% selepas menjual perniagaan pembuatan konkrit kepada YTL Cement (Sarawak) Sdn Bhd pada harga RM113 juta.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, SCIB berkata cadangan itu membabitkan pembangunan hartanah dan aktiviti berkaitan, susulan penjualan SCIB Concrete Manufacturing Sdn Bhd yang telah selesai pada 22 Mei 2026.

 

“Dengan penjualan itu, SCIB kini memberi tumpuan kepada segmen pembinaan, kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) serta pengurusan projek.

 

“Sebahagian hasil penjualan tersebut akan digunakan untuk membiayai projek pembangunan hartanah bagi mempelbagaikan sumber pendapatan dan keuntungan kumpulan.

 

“Antara projek dirancang ialah pembangunan enam bidang tanah di Bintulu seluas kira-kira 11.10 hektar yang diperoleh pada harga RM32.48 juta, selain projek kediaman dan komersial Lot 88 serta projek Kemena Lands,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Projek Sabah turut diperluaskan

Di Penampang, Sabah, SCIB melalui SCIB Ecobuild Sdn Bhd bekerjasama dengan Inland World Sdn Bhd untuk membangunkan Dimpoukon Residence dengan SCIB menerima 80% keuntungan pembangunan bersih.

 

Kerja pembinaan projek itu sudah bermula dan dijangka siap pada Februari 2029, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM83.19 juta dan keuntungan pembangunan dianggarkan RM7.93 juta.

 

Selain itu, SCIB berkata ia turut memperoleh empat bidang tanah di Kolombong, Kota Kinabalu pada harga RM15.20 juta termasuk enam unit kedai dua tingkat yang kini menjana pendapatan sewaan RM43,600 sebulan.

 

SCIB menjangkakan perniagaan pembangunan hartanah menyumbang sekurang-kurangnya 25% daripada keuntungan bersih kumpulan pada masa depan yang memerlukan kelulusan pemegang saham dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM).

 

ESOS sehingga 15% saham

Pada masa sama, SCIB mencadangkan penubuhan Skim Opsyen Saham Pekerja (ESOS) yang membolehkan sehingga 15% daripada jumlah saham diterbitkan syarikat diperuntukkan kepada pengarah dan pekerja yang layak.

 

Berdasarkan jumlah saham diterbitkan pada 21 September 2026, jumlah maksimum saham baharu melalui ESOS adalah kira-kira 114.543 juta saham.

 

Harga pelaksanaan akan berdasarkan purata harga dagangan berwajaran volum (VWAP) lima hari sebelum tawaran, dengan diskaun tidak melebihi 10%. Berdasarkan ilustrasi SCIB, harga pelaksanaan ialah RM0.1110.

 

ESOS itu akan berlangsung selama lima tahun dan boleh dilanjutkan sehingga 10 tahun, manakala hasil pelaksanaan opsyen akan digunakan sebagai modal kerja kumpulan.

 

Cadangan kepelbagaian dan ESOS tertakluk kepada kelulusan Bursa Malaysia Securities, pemegang saham serta pihak berkuasa berkaitan dan dijangka diselesaikan pada suku keempat 2026. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved