
KUALA LUMPUR: SD Guthrie Berhad (SD Guthrie) mencatatkan keuntungan bersih melebihi RM1.5 bilion bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, meningkat 44 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Prestasi kukuh itu didorong peningkatan keuntungan segmen hiliran selain sumbangan berterusan yang kukuh daripada segmen pembangunan perindustrian, sekali gus membuktikan daya tahan model perniagaannya yang dipelbagaikan.
Bagi suku kedua tahun kewangan 2026, keuntungan bersih SD Guthrie melonjak hampir dua kali ganda kepada RM987 juta berbanding RM505 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Prestasi itu disokong sumbangan ketara segmen Pembangunan Perindustrian yang merekodkan keuntungan sebelum faedah dan cukai (PBIT) sebanyak RM529 juta.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SD Guthrie, Mohd. Haris Mohd. Arshad berkata, prestasi kukuh separuh pertama tahun ini serta sumbangan pendapatan yang berterusan mencerminkan kemajuan transformasi kumpulan ke arah organisasi yang lebih pelbagai dan bersedia menghadapi masa depan.
Ujarnya, prestasi itu juga mencerminkan sumbangan lebih kukuh daripada aktiviti pembangunan perindustrian serta perniagaan hiliran, selain keadaan pasaran yang lebih baik dan peningkatan margin serta jumlah dagangan.
“Bagi segmen huluan , prestasi keuntungan sedikit merosot susulan keadaan cuaca kering berpanjangan pada separuh pertama tahun ini yang menyebabkan proses pematangan buah sawit tertangguh.
“Keadaan berkenaan turut menyebabkan pengeluaran buah tandan segar (FFB) di Malaysia lebih rendah berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Bagaimanapun, terdapat tanda-tanda pemulihan mulai Jun dan kita jangka prestasi operasi huluan bertambah baik menjelang akhir tahun.” katanya pada taklimat media SD Guthrie di sini semalam.
Dalam pada itu, Mohd. Haris berkata, kos baja SD Guthrie Berhad dijangka kekal terkawal pada sekitar RM1,700 hingga RM1,800 per tan metrik tahun ini, sekali gus mengehadkan tekanan terhadap kos operasi kumpulan.
Jelasnya, rundingan dengan pembekal berhubung semakan harga baja telah selesai, dengan kesan keseluruhan kepada syarikat dihadkan kepada kira-kira satu peratus.
“Kesan kenaikan itu bagaimanapun tidak akan menjejaskan pendapatan bersih kumpulan bagi tahun ini kerana harga baja bagi baki tahun telah dikunci.
“Kami telah menyelesaikan rundingan dengan pembekal dan jumlah kesan kos hanya sekitar satu peratus kepada kami.
“Bagi tahun penuh, kami telah mengunci harga dan kesan satu peratus kepada pendapatan bersih tidak akan berlaku,” katanya.
Beliau berkata, walaupun operasi Malaysia mengalami sedikit kelemahan pada separuh pertama tahun ini, perkembangan pengeluaran pada Julai menunjukkan peningkatan.
SD Guthrie menjangkakan prestasi operasi pada separuh kedua tahun ini akan bertambah baik, manakala operasi di Indonesia serta Papua New Guinea turut dijangka mencatat prestasi yang baik.
Sementara itu, kumpulan berkata, melihat harga minyak sawit mentah (MSM) berpotensi meningkat susulan jangkaan pasaran terhadap kesan El Niño terhadap bekalan pada 2027 dan 2028.
Mohd. Haris berkata, pasaran kini lebih memberi perhatian kepada prospek bekalan pada tahun-tahun berkenaan berbanding kesan segera terhadap pengeluaran tahun ini.
Katanya, sekiranya El Niño berkembang seperti dijangkakan dan menyebabkan pengeluaran lebih rendah pada 2027, keadaan itu berpotensi diterjemahkan kepada harga MSM yang lebih tinggi.
“Jika El Niño berkembang seperti yang kita jangkakan berdasarkan ramalan cuaca, ia secara amnya akan menyebabkan pengeluaran lebih perlahan pada 2027,” katanya. – UTUSAN
The post SD Guthrie raih untung lebih RM1.5 bilion separuh pertama 2026 appeared first on Utusan Malaysia.





