Penganalisis naikkan harga sasaran SD Guthrie, 2 transaksi jualan tanah dijangka berlaku 2H26

LocalBusiness & Finance
12 Aug 2026 • 9:37 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Penganalisis naikkan harga sasaran SD Guthrie, 2 transaksi jualan tanah dijangka berlaku 2H26 Image from: Penganalisis naikkan harga sasaran SD Guthrie, 2 transaksi jualan tanah dijangka berlaku 2H26 hamden12/08/2026 - 09:37 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 12 Ogos - SD Guthrie Berhad (SDG) terus mendapat sokongan penganalisis dengan saranan 'Beli' dikekalkan, manakala harga sasaran (TP) dinaikkan berikutan prestasi kewangan separuh pertama 2026 (1H26) yang mengatasi jangkaan.

 

RHB Research menaikkan harga sasaran kepada kepada RM8.00 daripada RM7.00, manakala MBSB Research turut menyemak semula TP kepada RM7.65.

 

Menurut penganalisis, keputusan 1H26 SDG didorong terutamanya oleh pengiktirafan jualan tanah yang lebih tinggi daripada jangkaan, selain menjangkakan momentum pendapatan kumpulan akan bertambah baik pada separuh kedua 2026 (2H26).

 

Katanya, peningkatan itu dijangka disokong oleh pengeluaran yang lebih kukuh serta harga minyak sawit mentah (MSM) yang lebih tinggi.

 

"Kami terus menyukai SDG berdasarkan strategi monetisasi dan kepelbagaian kumpulan," kata RHB Research  dalam nota penyelidikan.

 

Menurut firma itu, saham SDG kini didagangkan pada kira-kira 18 kali nisbah harga kepada pendapatan (P/E) 2027, berbanding 17 hingga 20 kali bagi syarikat setara, sekali gus dilihat menarik dari segi penilaian.

 

Jualan Tanah

Dalam perkembangan berkaitan, SDG pada 2Q26 merekodkan keuntungan jualan tanah sebanyak RM529 juta hasil pelupusan 935 ekar tanah di Kulai.

 

RHB Research menjangkakan kumpulan akan mengiktiraf sekurang-kurangnya satu lagi jualan tanah, atau sehingga dua transaksi, pada 2H26 membabitkan tanah seluas 170 ekar di Kluang dan 1,022 ekar di Bukit Kerayong.

 

Sehubungan itu, anggaran sumbangan EBIT daripada jualan tanah bagi FY26 dinaikkan kepada RM700 juta, manakala anggaran RM500 juta bagi FY27-28 dikekalkan.

 

Susulan prestasi lebih kukuh itu, RHB Research menaikkan unjuran keuntungan SDG bagi FY26, FY27 dan FY28 masing-masing sebanyak 13.8%, 12.2% dan 9.5%.

 

Semakan tersebut mengambil kira andaian harga MSM terkini masing-masing pada RM4,500 dan RM4,400 setan metrik bagi FY27 dan FY28, berbanding RM4,300 sebelum ini.

 

Ia turut mengambil kira sumbangan jualan tanah yang lebih tinggi serta andaian kadar pertukaran asing (FX) dalaman terkini.

 

Unjuran Pendapatan Dinaikkan

Sementara itu MBSB Research turut menaikkan unjuran pendapatan SDG bagi tahun kewangan 2026 hingga 2028 sehingga 12% susulan jangkaan harga minyak sawit mentah (CPO) yang lebih tinggi, pertumbuhan pengeluaran buah tandan segar (FFB) yang sederhana serta sumbangan berterusan daripada penjanaan semula nilai tanah.

 

Firma penyelidikan itu menaikkan unjuran pendapatan SDG masing-masing sebanyak 2.5%, 5.5% dan 12.0% bagi FY26 hingga FY28 kepada RM2.83 bilion, RM2.78 bilion dan RM2.40 bilion.

 

Susulan itu, sasaran harga (TP) berasaskan jumlah bahagian (SOP) SDG turut disemak kepada RM7.65, berbanding sasaran sebelumnya, dengan firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'Beli' ke atas saham syarikat perladangan berkenaan.

 

Menurutnya, semakan tersebut mengambil kira andaian purata harga jualan (ASP) CPO yang lebih tinggi pada RM4,400 hingga RM4,350 setan, kadar perahan minyak (OER) sekitar 20%, pertumbuhan FFB yang sederhana serta keuntungan pelupusan tanah berulang sekurang-kurangnya RM500 juta setahun.

 

Bagaimanapun, peningkatan unjuran itu sebahagiannya diimbangi oleh jangkaan kos pengeluaran yang lebih tinggi sekitar RM2,700 hingga RM2,600 setan, susulan harga baja yang kekal tinggi.

 

Firma penyelidikan itu berkata, keyakinannya terhadap SD Guthrie turut disokong oleh daya tahan operasi pukal Asia Pasifik serta prospek monetisasi tanah yang konsisten dalam tempoh lima tahun akan datang. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved