
PETALING JAYA – Semakin ramai kanak-kanak berusia 4 hingga 6 tahun berdepan masalah rabun jauh apabila anggaran kadar miopia itu meningkat tujuh kali ganda, daripada satu peratus pada 2020 kepada tujuh peratus tahun lalu.
Peningkatan ketara turut direkodkan dalam kalangan kanak-kanak yang berusia 7 hingga 12 tahun apabila anggaran kes melonjak daripada kira-kira 20 peratus kepada antara 40 hingga 50 peratus dalam tempoh sama.
Lebih membimbangkan, belum pun melangkah ke alam persekolahan, ada anak kecil sudah terpaksa memakai cermin mata dengan tahap kuasa mencecah 400.
Pakar Mata Kanak-kanak merangkap Pensyarah Perubatan, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Safinaz Mohd. Khialdin berkata, sebelum ini, rabun jauh lazimnya dikesan ketika kanak-kanak berada di sekolah rendah pada usia 7 hingga 12 tahun.

Bagaimanapun, katanya, masalah itu kini turut melibatkan kanak-kanak berusia 5 tahun ke bawah.
“Ada kanak-kanak prasekolah yang telah mengalami tahap rabun jauh sehingga tahap kuasa cermin mata 300.
“Ia sudah dianggap membimbangkan kerana tahap rabun ini boleh meningkat lebih tinggi apabila mereka membesar,” katanya kepada Kosmo! Ahad.
Menurutnya, rabun jauh yang tinggi (tahap kuasa cermin mata lebih 500) memberi risiko komplikasi penyakit mata yang boleh menjejaskan tahap penglihatan dengan teruk.
Antara komplikasi tersebut ialah retina koyak atau lekang, myopic maculopathy selain peningkatan risiko mendapat katarak dan glaukoma apabila dewasa yang dalam keadaan serius boleh menyebabkan kebutaan.
Dr. Safinaz yang berkhidmat di Hospital Canselor Tuanku Muhriz sebagai pakar perunding kanan Oftalmologi berkata, antara faktor yang menyumbang kepada rabun jauh adalah aktiviti jarak dekat yang berterusan tanpa henti lebih dari 30 minit.
Katanya, aktivit jarak dekat itu termasuklah membaca, menulis dan juga tabiat penggunaan gajet.
“Penggunaan gajet adalah tabiat yang menjadi punca utama meningkatnya rabun jauh.
“Tabiat ini semakin sukar dikawal dan mereka sering menggunakannya berterusan tanpa henti,” katanya.
Menurutnya, peningkatan kes bermula apabila berlaku perubahan gaya hidup ketika pandemik Covid-19 apabila kanak-kanak menghabiskan lebih banyak masa di dalam rumah selain mengikuti pembelajaran secara dalam talian.
Katanya, keadaan itu menyebabkan pendedahan kepada cahaya matahari berkurangan, manakala pada masa sama penggunaan skrin dan gajet pula meningkat.
“Mereka yang mengalami rabun jauh mempunyai bola mata yang lebih panjang.
“Cahaya matahari penting dalam pengawalan rabun jauh kerana boleh merangsang sejenis hormon di dalam badan yang dapat mengawal pemanjangan bola mata,” katanya.
Dr. Safinaz berkata, faktor lain termasuk genetik atau sejarah keluarga apabila jika salah seorang ibu atau bapa mengalami rabun jauh, anak mempunyai risiko dua kali ganda untuk mengalami masalah sama,
“Jika kedua-dua ibu bapa mengalami rabun jauh, risiko anak meningkat sehingga lapan kali ganda,” ujarnya.
Justeru, beliau menyarankan semua kanak-kanak menjalani saringan tahap penglihatan sebelum memulakan prasekolah iaitu sekitar usia empat tahun.
Antara tanda awal yang perlu diberikan perhatian termasuk kanak-kanak memegang buku terlalu dekat ketika membaca, duduk terlalu hampir dengan televisyen, mengecilkan mata untuk melihat dengan lebih jelas, kerap mengalami sakit kepala serta kemerosotan pembelajaran di sekolah.
Beliau turut menepis tanggapan bahawa pemakaian cermin mata menyebabkan tahap rabun kanak-kanak semakin tinggi.
Sebaliknya, katanya, kanak-kanak yang mengalami rabun jauh perlu memakai cermin mata sebaik sahaja masalah itu dikesan bagi membantu memulihkan tahap penglihatan mereka secepat mungkin.
Katanya, kanak-kanak juga disaran mendapatkan pendedahan kepada cahaya matahari sekurang-kurangnya dua jam sehari selain mengamalkan kaedah 20-20-20, iaitu merehatkan mata selama 20 saat dengan melihat objek sejauh 20 kaki selepas melakukan aktiviti jarak dekat selama 20 minit.
“Jika faktor risiko rabun jauh tidak dikawal, lebih ramai kanak-kanak akan mengalaminya pada usia lebih muda dengan tahap rabun lebih tinggi.
“Ini akan menyebabkan lebih ramai berisiko mendapat komplikasi rabun jauh yang boleh menjadi buta,” ujarnya.
The post Seawal usia 4 tahun sudah rabun jauh appeared first on Kosmo Online.






