
BANGI – Sebanyak RM5.16 juta wang hasil penipuan berjaya dipulangkan semula kepada mangsa antara Januari hingga Julai 2026 menerusi tindakan bersepadu Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC), kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata, angka itu bersamaan dengan 65 peratus daripada RM7.94 juta yang disita.
“Bagi kami, pemulangan wang kepada mangsa adalah antara hasil penguatkuasaan yang boleh dirasai secara langsung oleh rakyat,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Kebingkasan Siber Antarabangsa ke-6 (CRC 2026) di sini hari ini.
Beliau berkata angka juga menunjukkan ancaman siber semakin serius dengan Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah melaporkan operasi penipuan di Asia Tenggara sahaja menjana puluhan bilion dolar setiap tahun.
Beliau ketika menyentuh mengenai angka penderaan seksual dalam talian berkata kes bahan eksploitasi seksual kanak-kanak (CSAM) meningkat daripada 68 kes pada 2024 kepada 152 kes tahun lepas manakala 100 lagi kes direkodkan sehingga pertengahan tahun ini.
“Sehingga April 2026, Ops Cyber Guardian melalui kerjasama tujuh negara, kami berjaya membawa kepada penahanan 69 individu dan kami rampas 498,694 fail digital, termasuk 205,000 fail bahan penderaan seksual kanak-kanak,” katanya.
Selain itu, beliau turut mendedahkan sehingga 28 Ogos lepas, sebanyak 746 rakyat Malaysia menjadi mangsa tawaran pekerjaan palsu di luar negara.
Justeru, kerajaan dan agensi penguatkuasaan perlu memanfaatkan aplikasi kecerdasan buatan (AI) bagi menghadapi penjenayah siber yang semakin canggih, selain mengambil kira sifat jenayah berkenaan yang merentasi sempadan.
Saifuddin Nasution berkata penjenayah siber kini bukan lagi penjenayah konvensional, sebaliknya beroperasi dalam bentuk sindiket dan turut memanfaatkan teknologi yang berkembang pesat.
“Dalam konteks perbincangan kami adalah bagaimana alat AI ini boleh kami manfaatkan dalam kalangan pembuat dasar dan agensi penguatkuasaan untuk menghadapi penjenayah yang juga semakin canggih.
“Dia (penjenayah) pun (guna) teknologi siber juga. Dia jauh ke depan dan bersifat rentas sempadan. Dia bukannya penjenayah konvensional, dia adalah sindiket jenayah dan AI Generatif, satu fenomena baharu ketika ini. Saya kata bahawa ketika pelaku jenayah itu sudah menguasainya, kita tak boleh berada di takuk lama,” katanya.
Bertemakan “Mengemudi Cabaran dan Peluang dalam Kebingkasan Siber Global”, CRC 2026 memberi penekanan kepada keupayaan negara untuk bukan sahaja mencegah ancaman siber, malah bersedia, bertindak balas, pulih dan menyesuaikan diri apabila berlaku gangguan, di samping memastikan fungsi kritikal negara terus beroperasi.
CRC 2026 berlangsung selama tiga hari secara hibrid dengan penyertaan sekitar 321 peserta fizikal dan 149 peserta dalam talian dari dalam serta luar negara.
Antara fokus strategik persidangan ialah dua forum berkaitan Cyber Crime Fusion Centre (CCFC), selari dengan Kajian Penubuhan CCFC yang kini memasuki fasa kedua merangkumi pembangunan Model Governan dan Model Operasi.
Kajian berkenaan melibatkan Kementerian Dalam Negeri melalui Institut Keselamatan Awam Malaysia dengan kerjasama Pertubuhan Akademia Keselamatan Siber Malaysia dan rakan strategik berkaitan. – Bernama
The post Sebahagian mangsa scam sudah dapat balik duit appeared first on Kosmo Digital.






