
BANGKOK – Seorang kanak-kanak berumur 11 tahun merupakan salah seorang daripada 25 mangsa sindiket penipuan kad animasi Pokemon dan koleksi memorabilia bernilai tinggi lain di Thailand, dengan jumlah kerugian melebihi 5 juta baht (RM618,000), lapor laman berita VnExpress.
Kanak-kanak itu dilaporkan rugi lebih 1 juta baht (RM123,000) selepas membuat pembayaran untuk sekeping kad Pokemon yang menjadi rebutan ramai pengumpul, namun barang tersebut tidak pernah dihantar.
Menurut akhbar Bangkok Post, mangsa-mangsa membuat laporan polis di Thailand minggu ini bagi mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang lelaki hanya dikenali sebagai ‘Mr. Mor’.
Suspek didakwa meraih kepercayaan pengumpul tempatan dengan menawarkan perkhidmatan mendapatkan kad Pokemon serta koleksi berharga dari luar negara.
Beberapa mangsa berkata, pada peringkat awal, suspek memenuhi pesanan dan menyerahkan produk tulen.
Kepercayaan tersebut membantunya membina reputasi kukuh dalam kalangan pengumpul kad pokemon di Thailand.
Suspek kemudian menerima tempahan yang lebih besar dan mahal.
Masalah timbul apabila suspek secara tiba-tiba berhenti menghantar barangan yang dipesan.
Dia kemudiannya memutuskan semua bentuk komunikasi dan menutup laman Facebook miliknya.
Polis mengesahkan sekurang-kurangnya 25 mangsa telah tampil membuat laporan dengan jumlah kerugian keseluruhan melebihi 5 juta baht (RM618,000). – AGENSI
The post Budak 11 tahun rugi lebih RM120,000 ditipu ‘scammer’ appeared first on Kosmo Digital.






