RM5.16 juta wang mangsa scam dikembalikan

LocalPolitics
2 Sep 2026 • 5:19 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: RM5.16 juta wang mangsa scam dikembalikan

BANGI: Sebanyak 65 peratus atau RM5.16 juta daripada RM7.94 juta wang hasil penipuan yang disita berjaya dikembalikan kepada mangsa bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kejayaan itu hasil kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan pelbagai pihak menerusi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC).

Menurutnya, kerjasama tersebut membolehkan wang yang dicuri dibekukan sebelum dikembalikan kepada mangsa.

“Apa yang diharap oleh mangsa iaitu kita dapat pulangkan balik duit mereka. Caranya, kita kena hentikan satu lapisan transaksi. Dan itu antara yang kita lakukan melalui NSRC.

“Memulangkan wang kepada mangsa adalah keadilan yang dapat mereka rasai,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kebingkasan Siber 2026 Kali Ke-6, di sini hari ini.

Menurut Saifuddin, Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) melaporkan bahawa operasi scam di Asia Tenggara sahaja menjana puluhan bilion dolar setiap tahun.

“Di Malaysia, angka 2025 merekodkan 66,204 kes jenayah siber dengan kerugian RM2.97 billion dan pada 2024, kesnya adalah 35,368 dengan kerugian RM1.57 bilion. Angka ini menunjukkan peningkatan sekali ganda

“Kita juga menganggarkan bahawa 100,000 kanak-kanak berdepan dengan eksploitasi atau penderaan seksual dalam talian setiap tahun,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sehingga 28 Ogos lalu, seramai 746 rakyat Malaysia menjadi mangsa tawaran pekerjaan palsu di luar negara.

“Menerusi Op Pintas Khas, PDRM berjaya menyelamatkan 138 mangsa buruh paksa menerusi 77 serbuan di seluruh negara,” katanya.

Tambahnya, ancaman jenayah siber memerlukan tindak balas tegas dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan PDRM memberi tumpuan kepada tiga aspek utama iaitu pengukuhan undang-undang, penguatkuasaan serta kerjasama.

Katanya, penguatkuasaan tidak hanya dilaksanakan dalam negara, malah PDRM turut bekerjasama dengan pihak berkuasa negara lain dalam memerangi jenayah siber.

“Pada April lalu, PDRM melaksanakan Op Cyber Guardian bersama tujuh negara yang membawa kepada penahanan 69 individu.

“Operasi itu turut menyaksikan sebanyak 498,694 fail digital dirampas, termasuk 204,934 fail mengandungi bahan penderaan seksual kanak-kanak. Ini menunjukkan apa yang boleh dicapai melalui kerjasama antarabangsa,” katanya.

Jelasnya, setiap statistik berkenaan melibatkan mangsa sebenar termasuk mereka yang kehilangan wang simpanan, keluarga yang diperdaya sindiket serta pekerja yang terperangkap.

“Jenayah siber bukan sekadar isu teknologi. Ia adalah isu keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang.

“Apabila penjenayah mengubah cara mereka melakukan jenayah, kita juga perlu mengubah cara kita melindungi rakyat,” katanya. – UTUSAN

The post RM5.16 juta wang mangsa scam dikembalikan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved