
PUTRAJAYA – Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia terus memperkukuh hubungan strategik bersama pengamal media menerusi penganjuran Program Jalinan Mesra Boling bersama Kelab Media Putrajaya (KMP), di sini hari ini.
Program yang julung kali dianjurkan itu menghimpunkan lebih 95 peserta melibatkan warga SEDA Malaysia bersama pengamal media dalam usaha mengeratkan hubungan serta memupuk kerjasama lebih erat antara kedua-dua pihak.
Ketua Pegawai Operasi SEDA Malaysia, Koh Keng Sen berkata, program berkenaan turut menjadi tanda penghargaan kepada media tempatan yang sentiasa memberikan sokongan berterusan, khususnya dalam menyampaikan maklumat dan berita yang pantas serta boleh dipercayai kepada masyarakat.
“Peranan media melalui platform tradisional dan digital amat penting dalam memastikan maklumat berkaitan sektor tenaga boleh baharu (TBB) serta inisiatif yang dilaksanakan SEDA Malaysia dapat disebarluaskan dengan lebih meluas.
“SEDA Malaysia berharap jalinan kerjasama bersama KMP dapat terus diperkukuh bagi meningkatkan penyampaian maklumat, sekali gus memperluas kesedaran masyarakat mengenai inisiatif dan perkembangan sektor tenaga lestari di negara ini,” katanya hari ini.
Turut hadir, Presiden KMP, Tuan Buqhairah Tuan Muhamad Adnan. – KOSMO! ONLINE
The post SEDA Malaysia perkukuh hubungan strategik dengan media appeared first on Kosmo Online.






