Sedar diri masih relevan, Noorkhiriah berjanji tidak mahu hilang lagi – Jaja Ishak

Entertainment
25 Aug 2026 • 5:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Sedar diri masih relevan, Noorkhiriah berjanji tidak mahu hilang lagi – Jaja Ishak

KUALA LUMPUR: Selepas beberapa bulan ‘menghilang’ daripada radar industri seni dan media sosial, pelakon Noorkhiriah akhirnya kembali menghubungi penerbit tempatan, Jaja Ishak, selain berjanji tidak akan berbuat demikian lagi.

Perkembangan itu berlaku kira-kira seminggu sebelum drama terbaharu terbitan Jaja Ishak Channel Sdn Bhd, Boss Kid, mula ditayangkan di TV3.

Menurut Jaja, Noorkhiriah ada menghubunginya menerusi WhatsApp dan memberitahu dia menyedari dirinya masih relevan serta diperlukan dalam industri seni.

“Dia ada mesej saya di WhatsApp. Dia berjanji tak akan hilang dah sebab dia sedar bahawa dia masih relevan dan diperlukan di dalam industri kita. Saya sebelum ini pun gagal menghubunginya meskipun ketika itu ada tawaran kerja untuknya.

“Kali terakhir saya jumpa sewaktu panggil dia sebagai juruacara bagi majlis program Perantau Anak Pahang di PWTC.

“Selepas itu, tiba-tiba dia hilang daripada radar dan saya difahamkan dia sedikit merajuk dalam keadaan industri sekarang sebab dia pun banyak kali tidak mendapat tawaran sedangkan dalam jangka masa yang agak lama,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Jaja, dia juga mengetahui keadaan Noorkhiriah daripada pelakon, Datuk Fizz Fairuz ketika dia menghubungi pelakon berkenaan untuk mendapatkan perkembangan mengenai rakan baiknya itu.

“Saya pernah telefon Fizz Fairuz, dan dia maklum kepada saya memang Noorkhiriah hilang sekejap.

“Selepas itu saya bagi juga dia tawaran kerja, tetapi bergantung kepada kesesuaian wataklah, bukan semua sesuai. Tetapi kalau yang seperti pengacaraan yang kita boleh selit, kita selitlah,” katanya.

Image from: Sedar diri masih relevan, Noorkhiriah berjanji tidak mahu hilang lagi – Jaja Ishak

Selain itu, ditanya sama ada ‘kehilangan’ Noorkhiriah punya kaitan dengan tayangan drama Boss Kid, Jaja bagaimanapun menafikan bahawa ia antara gimik drama tersebut.

“Bukan gimik, ia memang berlaku secara kebetulan. Malah kebetulan pula ditakdirkan Tuhan, dia macam tergerak hati untuk hubungi saya pada saat drama kami ini sedang meletup ditayangkan di stesen TV3.

“Jadi saya rasa inilah masa yang tepat untuk Noorkhiriah kembali dalam industri seni kerana kami sangat memerlukan pelakon yang berkualiti sepertinya. Dia tidak bermasalah, berdisiplin, berkualiti, berbakat besar dan kami semua sayangkan dia ,” katanya.

Dalam masa sama, Jaja percaya isu Noorkhiriah yang menyepi dan kemunculan semulanya ketika Boss Kid ditayangkan sedikit sebanyak memberi nilai tambah kepada drama berkenaan, selain membantu mengembalikan perhatian terhadap pelakon tersebut.

“Namun, secara kebetulan drama ini pun sedang ditayangkan dan cerita berkenaan dengan Noorkhiriah hilang itu pun tersebar di merata-rata tempat. Saya rasa itu memberi sedikit nilai tambah untuk menaikkan semula nama Noorkhiriah dan drama kami.

“Sebab watak yang dibawa oleh Noorkhiriah ini seorang mak yang garang, sangat berkesan dan orang terlepas rindu dengan lakonan-lakonan hebat yang dipersembahkan olehnya,” katanya.

Dalam pada itu, Jaja berkata, dia berharap perhatian yang diterima Noorkhiriah menerusi drama berkenaan dapat membuka lebih banyak peluang untuk pelakon itu kembali aktif menerima tawaran berlakon.

“Saya berharap rentetan daripada tayangan drama kita yang semakin mendapat tempat di hati peminat drama Melayu, kepada penerbit-penerbit di luar sana, walaupun kita tahu ramai artis-artis baharu seperti cendawan tumbuh selepas hujan, jangan lupa panggil Noorkhiriah ini sebab anda tidak akan menyesal dengan kualiti lakonan dan disiplin yang diberikan kepada rumah produksi,” katanya.

Jaja turut menegaskan bahawa keputusan memilih Noorkhiriah sebagai antara tunjang utama Boss Kid bukan dibuat secara sembarangan, sebaliknya berdasarkan keyakinannya terhadap pengalaman, kualiti lakonan dan karakter pelakon itu.

Katanya, gandingan Norkhiriah bersama Fizz Fairuz dilihat bersesuaian dengan konsep drama yang mengetengahkan kisah kekeluargaan, terutama hubungan antara ibu bapa dan anak-anak.

“Kedua-dua mereka ini mempunyai nama yang sangat besar dalam industri drama kita, dalam industri kreatif terutamanya dalam penerbitan drama. Jadi saya tidak teragak-agak untuk mengetengahkan mereka sebagai watak utama dalam drama ini,”katanya.

Boss Kid kini ditayangkan di TV3 menerusi slot Lestary setiap Jumaat dan Sabtu, jam 9 malam.

Drama terbitan Jaja Ishak Channel Sdn Bhd itu mempunyai 20 episod dan diarahkan Shuhaimi Zulkefli.

Selain menampilkan Dato’ Fizz Fairuz dan Norkhiriah, drama berkenaan mengangkat kisah kekeluargaan menerusi kehidupan sebuah keluarga yang berdepan perubahan selepas watak bapa kehilangan pekerjaan.

The post Sedar diri masih relevan, Noorkhiriah berjanji tidak mahu hilang lagi – Jaja Ishak appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved