
KOTA KINABALU – Tiga mangsa ditemui rentung manakala seorang lagi cedera melecur dalam kebakaran sebuah rumah dua tingkat di Kampung Darau, Menggatal, di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.43 pagi itu, rumah jenis tidak kekal berkeluasan 40 x 40 kaki persegi terbakar 100 peratus.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 sebelum jentera tiba di lokasi kira-kira pukul 1.50 pagi.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan air daripada tangki jentera dan kebakaran berjaya dikawal pada pukul 2.10 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mangsa rentung dikenal pasti sebagai Loupin Adow, 67, Azman Maduin, 53 dan Nurul Asyiqin Alinor, 29.
Sementara itu, mangsa yang cedera ialah Stanley@Mohd Hairi Taopit, 34, dan kemudiannya dibawa ke hospital menggunakan jentera Emergency Medical Rescue Services (EMRS) untuk mendapatkan rawatan.
Menurut Noor Sherriyana, operasi ditamatkan pada pukul 5.19 pagi selepas pemeriksaan dijalankan dan tiada lagi bahaya lain dikesan di lokasi. – KOSMO! ONLINE
The post Tiga rentung, seorang melecur rumah terbakar di Menggatal appeared first on Kosmo Digital.






