MALAYSIA sering dibanggakan sebagai sebuah negara yang stabil, majmuk dan berjaya membangun. Namun di sebalik struktur perlembagaan yang memperuntukkan pembahagian kuasa antara Kerajaan Persekutuan dan negeri, realiti pentadbiran negara hari ini menunjukkan sesuatu yang berbeza. Kuasa fiskal, sumber kewangan dan keputusan pembangunan semakin tertumpu di Putrajaya.
Keadaan ini bukan sahaja mengubah sifat federalisme Malaysia, malah mewujudkan budaya politik yang terlalu bergantung kepada kerajaan pusat. Dalam jangka panjang, ia menimbulkan persoalan lebih besar, iaitu mampukah Malaysia terus kekal dinamik dan bersatu tanpa reformasi hubungan Persekutuan-negeri yang lebih adil?
Secara teorinya, federalisme diwujudkan bagi memastikan kuasa pentadbiran diagihkan supaya negeri mempunyai ruang mengurus keperluan tempatan secara lebih berkesan. Namun sejak merdeka, Malaysia berkembang ke arah sistem yang semakin berpusat.
Walaupun Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa tertentu kepada negeri, tetapi sumber hasil utama seperti cukai pendapatan, cukai korporat dan cukai jualan dikawal hampir sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan. Negeri pula bergantung kepada hasil terhad seperti tanah, hutan dan cukai tempatan.
Akibatnya, kebanyakan kerajaan negeri tidak mempunyai kapasiti fiskal yang cukup untuk membiayai pembangunan sendiri. Mereka terpaksa bergantung kepada geran, peruntukan dan kelulusan pinjaman daripada Putrajaya.
Dalam banyak keadaan, Kerajaan Persekutuan juga terus melaksanakan projek pembangunan di negeri-negeri tanpa melalui kapasiti pentadbiran negeri secara bermakna. Ini menjadikan negeri lebih berfungsi sebagai pelaksana dasar pusat, bukannya sebagai rakan setara sebagaimana yang sepatutnya dalam sebuah sistem persekutuan.
Masalah menjadi lebih rumit apabila struktur fiskal yang berpusat bercampur dengan persaingan politik kepartian. Dalam sistem yang terlalu bergantung kepada kerajaan pusat, peruntukan pembangunan boleh menjadi alat politik.
Negeri-negeri yang ditadbir oleh pembangkang lazimnya lebih sukar mendapat kerjasama, projek dan peruntukan pembangunan. Persepsi ini bukan perkara baharu dalam politik Malaysia.
Apabila keputusan fiskal dipengaruhi oleh pertimbangan politik, pembangunan negara menjadi tidak seimbang. Negeri yang sudah maju terus menerima limpahan pelaburan dan infrastruktur, manakala negeri yang lebih lemah terus bergelut dengan kekangan kewangan. Dalam jangka panjang, keadaan ini melebarkan lagi jurang ekonomi antara negeri dan menimbulkan rasa terpinggir dalam kalangan rakyat di kawasan tertentu.
Pengalaman Terengganu sering menjadi contoh paling jelas tentang kelemahan amalan federalisme di Malaysia. Selepas pembangkang mengambil alih pentadbiran negeri, pembayaran royalti petroleum segera disekat pada tahun 1999 dan pasca PRU15 pula ia diperketat dengan pelbagai kawalan yang menyulitkan. Kesannya bukan sekadar terhadap kedudukan kewangan, malah turut mempengaruhi hubungan birokrasi, pelaksanaan projek, keyakinan pelabur dan kebajikan rakyat.
Ironinya, Terengganu ialah negeri yang kaya dengan sumber asli dan hasil petroleum. Namun seperti banyak negeri lain, kekuatan ekonomi itu tidak semestinya diterjemahkan kepada autonomi fiskal yang lebih besar.
Pengalaman ini memperlihatkan satu kelemahan asas dalam sistem sedia ada, iaitu negeri boleh memiliki sumber strategik, tetapi tetap tidak mempunyai kuasa kewangan yang mencukupi untuk menentukan hala tuju pembangunan sendiri.
Pemusatan kuasa bukan sahaja memberi kesan kepada hubungan politik, tetapi juga kepada kecekapan ekonomi dan tadbir urus negara. Apabila terlalu banyak keputusan dibuat di peringkat pusat, dasar pembangunan sering gagal mengambil kira realiti tempatan yang berbeza antara negeri, sedangkan keperluan di Sabah tidak sama dengan Selangor, begitu di Kelantan tidak sama dengan Pulau Pinang.
Dalam masa sama, beban kewangan yang terlalu tertumpu di Putrajaya meningkatkan tekanan fiskal negara secara keseluruhan. Kerajaan pusat akhirnya perlu menanggung terlalu banyak tanggungjawab pembangunan, sedangkan sebahagian daripadanya boleh diurus secara lebih efektif di peringkat negeri atau tempatan.
Lebih membimbangkan, sistem yang terlalu berpusat boleh menghakis keyakinan rakyat terhadap prinsip keadilan antara negeri. Apabila pembangunan dilihat bergantung kepada kesetiaan politik, rakyat mungkin mula mempersoalkan sama ada sistem sedia ada benar-benar melayani semua negeri secara saksama.
Bukan sahaja rakyat biasa, bahkan mutakhir ini sultan beberapa negeri juga turut mempersoalkan keputusan dan tindakan Kerajaan Persekutuan yang menjejaskan kepentingan negeri Baginda.
Malaysia tidak memerlukan perubahan radikal yang menggugat kestabilan negara. Tetapi reformasi federalisme fiskal perlu dirintis segera. Antara langkah penting ialah dengan memperluas autonomi hasil negeri melalui sumber cukai tertentu yang lebih fleksibel; mekanisme agihan geran Persekutuan juga perlu lebih telus dan berasaskan formula yang berobjektif; serta kerajaan negeri juga perlu diberikan ruang yang lebih besar untuk merancang dan melaksanakan projek pembangunan tempatan, khususnya dalam bidang seperti pengangkutan bandar, perumahan, pelancongan dan ekonomi wilayah.
Pada masa sama, reformasi ini mesti disertai peningkatan ketelusan dan akauntabiliti di peringkat negeri. Desentralisasi tanpa tadbir urus yang baik hanya akan memindahkan masalah dari pusat ke negeri.
Dalam keadaan cabaran ekonomi dan sosial yang semakin kompleks, manakala rakyat juga semakin menuntut tadbir urus yang lebih responsif dan adil, federalisme yang terlalu berpusat mungkin tidak lagi sesuai untuk memenuhi keperluan negara yang semakin rencam.
Reformasi fiskal dan hubungan Persekutuan-negeri ini bukanlah bertujuan melemahkan kerajaan pusat, sebaliknya bagi membina negara yang lebih seimbang, berdaya tahan dan inklusif untuk masa hadapan.
*Eikhwan Ali ialah Pegawai Eksekutif Strategi Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)






