amree11/08/2026 - 10:45 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 11 Ogos – Pentamaster Corporation Berhad berada di landasan pertumbuhan lebih kukuh menerusi segmen pengkomputeran yang dijana kecerdasan buatan (AI compute), kata Phillip Capital.
Firma penyelidikan itu menambah, segmen ini dijangka menjadi pemacu utama keuntungan pada 2027, apabila dua daripada sembilan produknya dikenali 9 Samurai memasuki pengeluaran besar-besaran.
Ujarnya, tiga lagi produk 9 Samurai sudah pun di peringkat pengesahan pelanggan, manakala tempahan semakin kukuh dengan segmen AI compute dijangka menyumbang 26% daripada hasil kumpulan pada 2026.
"Ia dijangka naik kepada 50% pada 2027, dan Pentamaster memaklumkan yang harga jualan purata (ASP) bagi produk ini, mencecah AS$2 juta seunit apabila tempahan dimuktamadkan," jelas Phillip Capital.
Sebanyak 40 unit tempahan berkenaan dijangka dapat diserahkan sepanjang 2026 hingga 2027, dengan sekitar RM70 juta hingga RM80 juta daripadanya dijangka diiktiraf sebagai hasil pada tahun ini.
Prospek itu turut disokong tempahan kukuh segmen peralatan automasi kilang (FAS), dengan menyumbang 89% daripada buku tempahan semasa berjumlah RM550 juta, meningkat berbanding RM480 juta pada 1Q26.

Daripada jumlah itu kata Phillip Capital, segmen perubatan Pentamaster menjana 50%, AI compute (30%), pengguna dan perindustrian (9%), manakala peralatan ujian automatik (ATE) dengan 11%.
"Kami melihat perkembangan positif segmen penjagaan kesihatan dengan hasil naik daripada RM1 juta (1Q26) kepada RM21 juta (2Q26), dan mencapai tahap pulang modal lebih awal pada 4Q26," tambahnya.
Kelulusan status perintis bagi segmen ATE dan permohonan untuk FAS turut menjadi faktor penting kepada keuntungan, dengan kadar cukai efektif kumpulan dijangka berlegar sekitar 16% pada 2026.
Justeru, firma itu menaikkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) bagi 2026 hingga 2028 sebanyak 8%, disokong andaian hasil dan margin tinggi AI compute serta pemulihan perniagaan penjagaan kesihatan.
Bagaimanapun, Phillip Capital masih lagi mengekalkan saranan 'pegang' terhadap saham Pentamaster meskipun menaikkan harga sasaran (TP) dalam 12 bulan akan datang kepada RM5.55 daripada RM4.10.
"Penilaian saham dilihat mencerminkan prospek pertumbuhan, dengan risiko utama termasuk turun naik ringgit, perubahan margin, keputusan status perintis dan kekuatan tempahan pelanggan," katanya. - DagangNews.com






