liza28/08/2026 - 12:30 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 28 Ogos – Perniagaan penjagaan kesihatan Sunway Berhad menjadi antara penyumbang utama kepada prestasi kukuh kumpulan itu pada suku kedua tahun kewangan 2026 (2QFY26), disokong oleh prestasi hospital yang semakin mantap, menurut penganalisis.
Walaupun segmen pembinaan mencatatkan hasil yang lebih rendah berikutan beberapa projek pusat data telah melepasi fasa pembinaan puncak, prestasi kukuh perniagaan penjagaan kesihatan, pembangunan hartanah dan pelaburan hartanah terus menyokong pertumbuhan keseluruhan kumpulan.
Penganalisis berpandangan prestasi operasi Sunway kekal kukuh disokong pertumbuhan perniagaan penjagaan kesihatan walaupun tiga firma penyelidikan mempunyai pandangan berbeza mengenai penilaian saham dan potensi kenaikan harga kumpulan itu.
RHB Research Kekal Optimistik Terhadap Nilai Anak Syarikat
RHB Research mengekalkan saranan Beli terhadap Sunway dengan harga sasaran RM6.81, melihat penilaian kumpulan itu terus disokong oleh potensi penarafan semula nilai anak-anak syarikatnya.
Firma itu berpandangan kekuatan Sunway bukan hanya bergantung kepada perniagaan hartanah, malah turut disokong oleh nilai pegangan dalam Sunway Healthcare Holdings Berhad, Sunway Construction Group Berhad dan Sunway Real Estate Investment Trust (REIT).
RHB Research melihat perniagaan penjagaan kesihatan sebagai antara komponen penting dalam pertumbuhan kumpulan, disokong peningkatan aktiviti hospital serta perkembangan operasi Sunway Medical Centre Damansara dan Sunway Medical Centre Ipoh.
Menurut firma itu, pertumbuhan perniagaan hospital dan peningkatan kapasiti operasi memberi asas kepada prospek pendapatan Sunway yang lebih kukuh, selain membantu mengembangkan sumber pendapatan kumpulan di luar perniagaan hartanah tradisional.
RHB Research menggunakan pendekatan nilai aset bersih boleh direalisasi (RNAV) dalam penilaiannya dan melihat nilai intrinsik Sunway pada RM6.31 sesaham, sebelum mengambil kira premium alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) sebanyak 8% untuk menghasilkan harga sasaran RM6.81.
MBSB Research Lihat Positif Banyak Sudah Diambil Kira
MBSB Research pula mengambil pendekatan lebih berhati-hati dengan mengekalkan saranan Neutral dan harga sasaran RM5.36, walaupun mengakui Sunway terus mencatatkan prestasi operasi yang kukuh.
ARTIKEL BERKAITAN: Untung Sunway meningkat kepada RM318.6 juta pada 2QFY26, isytihar dividen 3 sen
Firma itu berkata, keuntungan bersih teras Sunway meningkat kepada RM333.9 juta pada 2QFY26, naik 54.7% berbanding suku sebelumnya, terutamanya disokong oleh peningkatan prestasi bahagian penjagaan kesihatan.
Prestasi lebih kukuh itu membantu mengimbangi sumbangan yang lebih lemah daripada bahagian pembangunan hartanah, pelaburan hartanah dan pembinaan pada asas suku ke suku, menunjukkan kepentingan perniagaan penjagaan kesihatan yang semakin meningkat kepada kumpulan.
Bagi separuh pertama FY2026, keuntungan bersih teras meningkat 27.1% kepada RM549.7 juta, dengan pertumbuhan disokong oleh peningkatan prestasi semua bahagian utama termasuk pembangunan hartanah, pelaburan hartanah, pembinaan dan penjagaan kesihatan.
Namun, MBSB Research berpandangan kebanyakan faktor positif terhadap prospek Sunway telah pun diambil kira dalam harga saham semasa yang mengehadkan potensi kenaikan selanjutnya dan menjadi sebab firma itu mengekalkan pendirian Neutral.
CGSI Tumpu Kepada Kekuatan Operasi Hospital
CGS International (CGSI) turut mengekalkan saranan Pegang terhadap Sunway dengan harga sasaran RM5.53, sambil mengiktiraf prestasi kukuh perniagaan penjagaan kesihatan sebagai antara perkembangan utama pada 2QFY26.
Firma itu berkata, hasil Sunway Healthcare Holdings meningkat 14% kepada RM659 juta, manakala pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) terlaras meningkat 41% kepada RM161 juta.
Prestasi tersebut disokong oleh peningkatan kadar penghunian katil kepada 73%, berbanding 67% dalam tempoh sama tahun sebelumnya, selain kapasiti katil berlesen meningkat kepada 1,855 katil.
Jumlah kemasukan pesakit dalam turut meningkat 19% kepada 32,599 orang, manakala hasil daripada pesakit asing melonjak 31% kepada RM85 juta, mencerminkan pertumbuhan berterusan operasi hospital Sunway.
Walaupun mengiktiraf prospek pertumbuhan jangka panjang kumpulan, CGSI berpandangan Sunway masih memerlukan pemacu pertumbuhan yang lebih kukuh untuk mengecilkan diskaun syarikat pegangan, menyebabkan firma itu memilih untuk mengekalkan saranan Pegang terhadap saham tersebut.- DagangNews.com






