Sejahterakah guru kita?

LocalHealth & Fitness
10 Aug 2026 • 9:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Sejahterakah guru kita?

BERITA pemergian seorang guru wanita di sebuah sekolah di Hulu Selangor pada 31 Julai 2026 telah mengundang rasa dukacita dan meninggalkan kesan mendalam kepada warga pendidikan.

Peristiwa ini wajar menjadi ruang muhasabah kepada semua pihak tentang keadaan emosi dan kesejahteraan warga pendidik.

Dalam kesibukan mengejar kecemerlangan akademik, memenuhi tuntutan pentadbiran dan memastikan kebajikan murid terpelihara, adakah kita benar-benar bertanya tentang keadaan guru yang memikul tanggungjawab tersebut?

Pertama, sekolah perlu mewujudkan psychological safety, iaitu keadaan apabila guru berasa selamat untuk bersuara, meminta bantuan, mengakui kesilapan dan berkongsi masalah tanpa takut dipersalahkan atau dipermalukan.

Kedua, pengagihan tugas perlu dilaksanakan secara telus dan adil. Guru yang cekap tidak seharusnya sentiasa diberikan tugas tambahan sehingga keupayaannya dieksploitasi.

Beban kerja perlu mengambil kira jumlah kelas, tanggungjawab keluarga, keadaan kesihatan, pengalaman dan tugas sedia ada.

Keadilan dalam pengagihan tugas bukan bermaksud semua guru perlu menerima jumlah tugas yang sama. Keadilan bermaksud tugas diberikan secara munasabah berdasarkan kemampuan dan keadaan individu.

Ketiga, sekolah perlu peka terhadap tanda-tanda perubahan dalam kalangan guru. Antaranya termasuk perubahan tingkah laku yang ketara, penarikan diri daripada rakan sekerja, ketidakhadiran yang meningkat, kemerosotan prestasi, keletihan berpanjangan, mudah marah atau kehilangan motivasi.

Keempat, kerahsiaan perlu dijaga. Guru mungkin enggan berkongsi masalah sekiranya mereka bimbang kisah peribadi akan menjadi bahan perbualan di bilik guru atau menjejaskan penilaian prestasi.

Oleh itu, maklumat yang dikongsikan berkaitan keluarga, kesihatan dan emosi perlu dikendalikan secara profesional.

Kelima, sekolah perlu mempunyai saluran rujukan yang jelas. Guru yang memerlukan bantuan profesional perlu dibantu untuk mendapatkan khidmat kaunseling, sokongan psikososial atau pemeriksaan kesihatan melalui saluran yang sesuai.

Jangan tunggu sehingga berlaku krisis. Usaha menjaga kesejahteraan guru perlu diterjemahkan dalam amalan seharian.

Antaranya melalui pengurangan tugasan yang bertindih, perancangan program yang realistik, penghormatan terhadap masa rehat, penghargaan yang ikhlas serta peluang untuk mendapatkan bantuan tanpa stigma.

Kementerian, jabatan pendidikan, pejabat pendidikan daerah dan pihak sekolah juga perlu melihat data persaraan awal sebagai asas untuk menjalankan kajian yang lebih mendalam.

Perlu dikenal pasti mengapa sebahagian besar guru menyatakan tidak lagi berminat meneruskan kerjaya dan apakah faktor sebenar yang mempengaruhi keputusan tersebut.

Guru yang sejahtera dari segi emosi lebih berupaya membina hubungan positif dengan murid, mengurus bilik darjah dengan baik dan melaksanakan pengajaran secara berkesan.

Sebaliknya, sistem yang terlalu bergantung pada pengorbanan guru tanpa menyediakan sokongan yang mencukupi akhirnya boleh menjejaskan guru, murid dan sekolah secara keseluruhan.

Tragedi yang berlaku di Hulu Selangor seharusnya tidak dijadikan ruang untuk membuat spekulasi atau mencari kesalahan.

Sebaliknya, ia perlu menjadi peringatan bahawa setiap warga pendidikan mempunyai kehidupan dan perjuangan yang mungkin tidak terlihat oleh orang lain.

Jika kesejahteraan murid menjadi keutamaan dalam sistem pendidikan, maka kesejahteraan guru juga perlu diberikan kedudukan yang sama penting.

Semua pihak perlu mula mendengar, memahami dan bertindak. Guru yang sejahtera bukan sahaja mampu mendidik dengan lebih baik, malah menjadi asas kepada sekolah yang manusiawi dan sistem pendidikan yang mampan. – UTUSAN

DR. NORASYIKIN MOHAIYUDDIN
Pusat Pengajian Pendidikan, Universiti Utara Malaysia

The post Sejahterakah guru kita? appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved