
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan memastikan sokongan psikososial kepada warga sekolah berada pada tahap sebaiknya susulan insiden kematian seorang guru wanita di Selangor, baru-baru ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kementerian sentiasa mengambil berat aspek kesihatan mental warga pendidikan menerusi kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Kementerian Kesihatan dan kaunselor.
“Saya faham dan mengambil maklum kegusaran warga pendidik serta seluruh masyarakat tentang insiden yang melibatkan seorang guru di negeri Selangor.
“Buat masa ini, saya merayu agar kita semua menghormati privasi keluarga dan mengelakkan sebarang spekulasi. Berilah ruang kepada pihak Polis untuk menjalankan siasatan secara teliti agar punca sebenar insiden ini dapat dikenal pasti.
“Sementara siasatan sedang berlangsung, KPM sedang menggerakkan segala ikhtiar yang termampu untuk memastikan sokongan psikososial kepada warga sekolah berada pada tahap yang sebaiknya,” katanya di Facebook hari ini.
Fadhlina turut menyeru warga pendidik agar mengambil berat kebajikan serta keadaan emosi rakan-rakan guru di sekeliling mereka.
“Kepada guru-guru yang saya kasihi, dalam kesempatan ini saya ingin merayu, luangkanlah sedikit masa untuk bertanya khabar tentang rakan-rakan guru di sekeliling kita.
“Dengarlah luahan mereka, bertanyalah keadaan mereka dan pastikan mereka benar-benar berada dalam keadaan baik.
“Kadangkala, satu pertanyaan yang ikhlas mampu memberikan kekuatan yang sangat besar kepada seseorang,” katanya. – UTUSAN
The post KPM tidak abai kesihatan mental guru appeared first on Utusan Malaysia.






