Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Seorang pelajar Tingkatan Dua mengalami trauma selain cedera di beberapa bahagian badan selepas dipercayai menjadi mangsa buli di sebuah sekolah menengah di Taman Sri Kesang, Tangkak, Johor pada 13 November lalu.
Ahli keluarga mangsa berusia 35 tahun yang enggan dikenali mendedahkan, kejadian itu hanya terbongkar selepas mereka bergegas ke sekolah sejurus dimaklumkan remaja terbabit kononnya mengalami sakit perut.
Artikel berkaitan: Hampir 6,000 Kes Buli Dilaporkan Berlaku Di Sekolah Dalam Tempoh 8 Bulan Tahun Ini – PM
Artikel berkaitan: “Wujud ibu bapa defensif & denial” – Amin Idris Kongsi Pengalaman Berdepan Dengan Ibu Bapa Pembuli
“Pihak sekolah hubungi kami beritahu dia sakit perut. Kami bergegas ke sekolah sebelum menemukan dia dalam keadaan menggigil menahan kesakitan,” katanya.
Menurutnya, apabila ditanya mengenai punca keadaan tersebut, mangsa memaklumkan bahawa dia sebenarnya telah dipukul.
Jelasnya, remaja terbabit mengalami kecederaan di bahagian belakang kepala, belakang telinga dan leher sebelum dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut termasuk menjalani imbasan tomografi berkomputer (CT scan).

Tambah ahli keluarga itu lagi, insiden berkenaan memberi kesan emosi yang mendalam sehingga menyebabkan mangsa kini trauma dan perlu menjalani sesi kaunseling selama dua minggu bermula 13 November lalu.
Mengulas lanjut, beliau mendedahkan keluarga pada mulanya berasa kecewa apabila dimaklumkan mangsa turut dikenakan tindakan gantung sekolah, walaupun remaja itu didakwa menjadi mangsa pukul.
“Pihak sekolah kata ini kes pergaduhan, sedangkan dia yang dipukul. Kami tunjukkan rakaman video kejadian kepada pengetua yang baru beberapa hari bertugas di sekolah berkenaan.
Sebab itu kami meluahkan rasa tidak puas hati menerusi media sosial kerana kecewa dengan tindakan pihak sekolah,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, tindakan gantung sekolah itu sudah ditarik balik buat sementara waktu selepas video kejadian berkenaan tular dan mendapat perhatian Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
Dalam pada itu, beliau berkata seorang daripada ibu bapa pelajar yang didakwa terbabit dalam kejadian berkenaan sudah bertemunya untuk memohon maaf, manakala ada juga yang menghubunginya menerusi aplikasi WhatsApp.
“Saya cuma mahukan keadilan untuk mangsa. Saya bimbang jika tiada tindakan tegas diambil, perkara sama boleh berlaku kepada pelajar lain.
Mangsa dipukul berkali-kali di bahagian belakang kepala sehingga dia beritahu pandangannya hampir gelap ketika kejadian,” katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohd Roslan Talib mengesahkan tiga pelajar lelaki berusia 15 tahun ditahan bagi membantu siasatan kejadian berkenaan.
Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham berkaitan perbualan dalam kumpulan WhatsApp sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati antara pelajar terbabit. Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Sumber: Harian Metro
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.






