Sektor komoditi catat KDNK RM19.65 bilion pada suku pertama 2026 - Noraini

LocalBusiness & Finance
10 Aug 2026 • 11:38 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sektor komoditi catat KDNK RM19.65 bilion pada suku pertama 2026 - Noraini Image from: Sektor komoditi catat KDNK RM19.65 bilion pada suku pertama 2026 - Noraini hamden10/08/2026 - 11:38 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 10 Ogos - Sektor komoditi dan industri berasaskan komoditi mencatatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak RM19.65 bilion pada suku pertama 2026, meningkat berbanding RM18.95 bilion dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, dalam tempoh berkenaan, eksport produk berasaskan komoditi pula menyumbang RM41.62 bilion kepada negara.

 

Katanya, eksport agrikomoditi Malaysia ke India meningkat lebih 50 peratus pada suku pertama 2026, manakala China kekal sebagai antara pasaran penting bagi sektor hiliran dan produk bernilai tambah.

 

"Bagaimanapun, prestasi tersebut tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai angka pencapaian, sebaliknya membawa tanggungjawab lebih besar untuk memastikan sektor berkenaan terus berkembang secara mampan dan berdaya saing," katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika beruca pada Perhimpunan Bulanan (Ogos) dan Pelancaran Sambutan Bulan Kemerdekaan kementeriannya di Ibu Pejabat Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Bangi, hari ini.

 

kpk2

 

Noraini berkata, perkembangan tersebut mencerminkan potensi untuk Malaysia terus mempelbagaikan pasaran eksport serta meningkatkan nilai produk agrikomoditi di peringkat global.

 

Bagaimanapun, beliau mengingatkan situasi semasa tidak lagi mudah kerana ketidaktentuan ekonomi global masih berterusan, kos logistik berubah, dasar perdagangan dunia terus berkembang dan tuntutan terhadap kelestarian pula semakin tinggi.

 

"Dalam keadaan seperti ini, KPK tidak boleh sekadar menunggu dan melihat. Kita perlu membaca perubahan dengan pantas. Kita perlu menjaga pasaran sedia ada. Kita perlu membuka pasaran baharu. Dalam masa yang sama, kita perlu memastikan pekebun kecil dan industri kita tidak tertinggal," ujarnya.

 

Teknologi dan Agenda Peralihan Tenaga

 

Katanya, Malaysia turut meneruskan agenda peralihan tenaga melalui Program Biodiesel Negara serta pembangunan industri biobahan api.

 

Tambahnya, potensi bahan mentah seperti minyak masak terpakai juga semakin diberi perhatian bagi pembangunan bahan api mampan, termasuk Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF).

 

"Perkembangan itu menunjukkan sektor agrikomoditi kini bukan lagi sekadar berkaitan hasil ladang, sebaliknya semakin menjadi sebahagian daripada agenda tenaga, teknologi, kelestarian dan ekonomi masa hadapan," katanya.

 

Dalam aspek teknologi pula, Noraini berkata, MPOB memperkenalkan sembilan teknologi baharu menerusi Program Pemindahan Teknologi Sawit MPOB 2026.

 

Pembangunan sistem seperti Sawit Intelligent Management System dan GeoSAWIT turut membantu memperkukuh aspek kebolehkesanan dalam industri sawit.

 

"Kebolehkesanan menjadi semakin penting memandangkan pasaran global kini bukan sahaja menilai produk yang dijual, tetapi turut memberi perhatian kepada asal-usul produk, kaedah pengeluaran, tahap kelestarian serta kebolehpercayaan rantaian bekalan.

 

"Justeru, penyelidikan, digitalisasi dan teknologi kini menjadi antara elemen penting dalam meningkatkan daya saing sektor agrikomoditi Malaysia," ujarnya.

 

Dalam usaha memastikan manfaat pembangunan sektor agrikomoditi turut dirasai pekebun kecil, Noraini berkata, Program Salam Agrikomoditi yang telah dimulakan pada 25 Julai 2026 di Negeri Sembilan akan diperkasakan dan diperluaskan ke seluruh negara.

 

"Pendekatan turun padang itu bertujuan memastikan kehadiran kementerian dapat dirasai secara langsung oleh masyarakat yang bergantung kepada sektor agrikomoditi.

 

"Program tersebut bukan sekadar menyampaikan maklumat, sebaliknya menghimpunkan agensi berkaitan bagi memberikan penerangan mengenai bantuan, pensijilan, insentif serta peluang yang tersedia kepada masyarakat dan pemain industri.

 

"Pendekatan itu diharap dapat menjadi jambatan antara KPK dengan masyarakat, selain memastikan pekebun kecil mendapat akses lebih baik kepada maklumat, bantuan dan peluang dalam rantaian nilai agrikomoditi," katanya sambil menambah pada masa ini terdapat lebih 600,000 pekebun kecil persendirian agrikomoditi di seluruh negara. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved