Sektor perbankan dijangka terus berdepan tekanan akibat ketegangan perdagangan antarabangsa - TA Securities

16/04/2025 - 12:02
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 16 April - Sektor perbankan Malaysia dijangka terus berdepan tekanan akibat ketegangan perdagangan antarabangsa yang semakin memuncak, kata TA Securities.
Katanya, pertumbuhan pinjaman serta pendapatan berasaskan yuran berkemungkinan menyusut disebabkan kelewatan dalam pelaburan modal, rancangan pengembangan serta aktiviti penggabungan dan pengambilalihan apabila sentimen perniagaan merosot.
"Kami yakin, sekiranya berlaku kelembapan ekonomi, pinjaman perniagaan menjadi yang paling awal terjejas.
“Sementara itu, pinjaman runcit dijangka kekal stabil kerana segmen ini lebih pelbagai merangkumi peminjam individu dan sering dikaitkan dengan keperluan asas seperti pinjaman perumahan," katanya dalam satu nota kajian.
TA Securities menyertai CIMB Securities dan firma penyelidikan lain yang memberi amaran mengenai potensi impak terhadap sektor perbankan Malaysia di tengah-tengah perubahan dasar perdagangan Amerika Syarikat (AS).
Katanya, AS kini sedang menyiasat import semikonduktor dan farmaseutikal atas alasan kebergantungan yang tinggi terhadap pengeluaran ubat dan cip dari luar negara merupakan ancaman kepada keselamatan negara.
Siasatan itu disusuli pengumuman pengecualian tarif balas terhadap barangan pengguna elektronik dan peralatan semikonduktor yang dihantar dari semua rakan dagang AS, yang diumumkan pada hujung minggu lalu.
Kelembapan serantau yang lebih meluas juga boleh meningkatkan risiko kualiti aset, terutamanya bagi bank-bank yang mempunyai pelanggan dalam sektor eksport yang bergantung kepada permintaan luar, kata TA Securities.
Sektor elektrik dan elektronik, minyak sawit, jentera dan peralatan, getah, perabot, dan plastik — yang secara kolektif menyumbang lebih 40% daripada eksport Malaysia — adalah terdedah kepada permintaan luar yang lebih perlahan dan peningkatan kos input, yang berpotensi menjejaskan aliran tunai mereka, tambahnya.
Saham perbankan telah mencatatkan penurunan selari dengan turun naik pasaran memandangkan hubungan rapat sektor ini dengan kesihatan keseluruhan ekonomi.
Setakat tahun ini, CIMB Group Holdings Bhd mencatatkan penurunan terbesar dalam kalangan 11 bank dengan kerugian sebanyak 18%.
RHB Bank Bhd merupakan satu-satunya saham dalam sektor ini yang mencatatkan keputusan positif, dengan keuntungan sebanyak 2.5%.
TA Securities bagaimanapun, masih mengekalkan penarafan "overweight" terhadap sektor perbankan Malaysia kerana pembetulan harga baru-baru ini telah membawa penilaian saham ke tahap yang lebih “menarik” dan menawarkan peluang kemasukan yang baik untuk pelabur.
Dari segi strategi, firma penyelidikan itu memberi saranan "beli" ke atas semua saham bank di bawah liputannya, dengan CIMB dan Public Bank Bhd sebagai pilihan utama dalam sektor tersebut. - DagangNews.com
standard

