TA Securities menilai harga saham West River yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE pada 45 sen

16/04/2025 - 16:33
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 16 April - TA Securities memberikan nilai wajar kepada firma kejuruteraan, West River Bhd pada 45 sen sesaham.
Penilaian tanpa penarafan itu adalah 15.4% lebih tinggi daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) 39 sen sesaham dengan kumpulan itu bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 5 Mei 2025.
Katanya, penilaian itu berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) sebanyak 11 kali unjuran pendapatan sesaham (EPS) 2025 sebanyak 4.1 sen.
"PER yang diperuntukkan itu menggambarkan diskaun 10% kepada purata wajaran bagi rakan serantau yang setanding dalam sektor ini, dengan mengambil kira permodalan pasaran West River yang lebih kecil," katanya dalam satu nota kajian.
Firma itu merupakan penyedia perkhidmatan kejuruteraan mekanikal dan elektrik (M&E) yang berpusat di dalam negara, yang terlibat dalam penyediaan perkhidmatan kejuruteraan elektrik serta penyaman udara dan pengudaraan mekanikal (ACMV), selain rumusan bangunan pintar.
Selain itu, syarikat itu turut mengeluarkan panel elektrik dan papan agihan untuk kegunaan dalaman serta dijual kepada pihak ketiga.
"Melangkah ke hadapan, kami menjangkakan kumpulan itu akan mencatat pertumbuhan pendapatan teras sebanyak 23.4%/11%/2% kepada RM14.5 juta/RM16.1 juta/RM16.4 juta bagi tahun kewangan FY25/FY26/FY27.
"Pertumbuhan itu didorong terutamanya didorong pesanan belum dibil sebanyak RM247.3 juta setakat Mac 2025, penambahan kerja baharu sebanyak RM100 juta untuk FY25 dan RM150 juta bagi FY26/FY27dan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 15% bagi bahagian pembuatan," katanya.
Daripada hasil tawaran awam permulaan (IPO), sejumlah RM10 juta akan diperuntukkan untuk pengambilalihan tanah dan pembinaan kilang dan gudang pembuatan baharu di Lembah Klang.
Kemudahan itu bertujuan untuk meningkatkan kapasiti pembuatan kumpulan bagi panel elektrik dan papan pengagihan, serta menyediakan ruang penyimpanan yang lebih luas untuk inventori berkaitan projek termasuk kabel, wayar, dan alat ganti.
Syarikat itu berkata RM5.6 juta akan digunakan untuk pembayaran semula pinjaman bagi mengukuhkan struktur modal kumpulan, manakala RM7.8 juta diperuntukkan untuk keperluan modal kerja am.
Baki RM4.5 juta akan digunakan untuk menampung perbelanjaan berkaitan penyenaraian.
M&A Securities Sdn Bhd adalah penasihat utama, penaja, penjamin, dan ejen penempatan bagi penyenaraian ini. - DagangNews.com
standard
