amree11/08/2026 - 09:10 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 11 Ogos – Sektor perladangan dijangka mencatat pemulihan dengan peningkatan hasil pada suku kedua 2026 berikutan kenaikan harga minyak sawit mentah (MSM), menurut RHB Research.
Ujarnya, pengeluaran tandan buah segar (FFB) juga diunjur meningkat, namun paras stok minyak sawit yang bertambah kepada 2.63 juta tan pada Julai 2926 menjadi cabaran utama kepada sentimen harga.
Justeru firma itu mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor berkenaan dengan pilihan utama termasuk Johor Plantations Group, Sarawak Oil Palms, IOI Corporation, dan Hap Seng Plantations.
"Kami menjangkakan hasil 2Q26 meningkat berbanding suku sebelumnya, didorong kenaikan purata harga MSM semasa kira-kira 8.2% suku ke suku (QoQ) kepada RM4,519 satu tan," kata nota RHB Research.
Harga isirung sawit (PK) turut meningkat sebanyak 6.8% dalam tempoh sama, manakala pengeluaran FFB syarikat perladangan Malaysia di bawah liputan firma itu melonjak 8.4% berbanding suku sebelumnya.
Bagi pemain yang beroperasi di Indonesia, keuntungan 2Q26 diunjur kukuh meskipun purata harga jualan MSM selepas cukai susut 2.2% QoQ, kerana diimbangi oleh peningkatan pengeluaran bermusim.

RHB Research menganggarkan keputusan kewangan 2Q26 sektor perladangan sebahagian besar menepati unjuran, walaupun dua syarikat mencatatkan prestasi di bawah jangkaan, dan satu melebihi unjuran.
"Bagi syarikat yang masih belum lagi melaporkan keputusan kewangan, kebanyakannya dijangka memenuhi jangkaan pasaran, namun prestasi tiga syarikat mungkin agak mengecewakan," jelas firma berkenaan.
Menjelang 3Q26, ia menjangkakan keuntungan sektor tersebut terus meningkat berbanding suku yang sebelumnya hasil faktor pengeluaran bermusim lebih tinggi serta kenaikan harga jualan purata (ASP).
Bagaimanapun ujar RHB Research, tekanan persaingan dijangka menyebabkan margin pemain hiliran di Malaysia sederhana, ketika inventori minyak sawit tempatan meningkat 3.3% bulan ke bulan (MoM).
Firma berkenaan turut menjangkakan paras stok kekal melebihi dua juta tan sepanjang 2026 kerana kesan fenomena El Nino terhadap pengeluaran hanya lebih ketara menjelang akhir tahun dan pada awal 2027.
"Momentum eksport boleh menyokong sektor apabila pengimport meningkatkan pembelian menjelang musim perayaan, dengan unjuran harga MSM kekal RM4,400 satu tan bagi 2026," katanya. - DagangNews.com






