Sektor REIT dijangka berdepan tekanan pada separuh kedua 2025, kata CIMB Securities

23/06/2025 - 09:49
Oleh 'AINA SYAZWINA
KUALA LUMPUR 23 Jun — Real Estate Investment Trust (REIT) Malaysia mencatatkan prestasi kewangan suku pertama berakhir 31 Mac 2025 (1Q25) yang sejajar dengan jangkaan, namun sektor itu dijangka berdepan tekanan pada separuh kedua 2025 (2H25) susulan perbelanjaan pengguna yang semakin perlahan serta perluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
CIMB Research berkata, kesemua REIT di bawah liputannya iaitu Axis-REIT, Al-Aqar REIT, IGB REIT, Sentral REIT, dan Sunway REIT, melaporkan keputusan kewangan 1Q25 yang sejajar dengan jangkaan, dengan pertumbuhan keuntungan bersih sebanyak 13.3% tahun ke tahun dan 14.2% suku ke suku.
"Inisiatif pengurusan modal yang aktif menjadi pemacu utama kepada pertumbuhan pendapatan tahunan bagi Axis-REIT, Sunway-REIT, dan IGB-REIT.
"Sebaliknya, kemerosotan pendapatan Al-Aqar dan Sentral-REIT berpunca daripada kehilangan hasil sewaan," katanya dalam satu nota kajian.
Sepanjang FY24, Axis REIT telah memperoleh lapan hartanah dengan nilai keseluruhan RM719 juta, yang dianggarkan menyumbang 14% kepada hasil 1Q25.
CIMB Research turut mengesan tanda penyusutan dalam perbelanjaan pengguna, yang ditunjukkan menerusi penurunan jualan penyewa dalam kalangan REIT runcit di bawah liputannya.
Jualan per kaki persegi di Sunway REIT turut susut 0.4% tahun ke tahun, manakala pendapatan kasar bulanan per kaki persegi di Mid Valley Megamall milik IGB REIT merosot 2%.
Penyusutan itu disebabkan tempoh perayaan berada dalam 1Q25 dan kerja-kerja ubah suai ruang penyewa utama di Sunway Pyramid Mall dan Mid Valley Megamall telah disiapkan, dengan penyewa lama yang keluar digantikan dengan penyewa baharu dan memberikan hasil lebih tinggi.
Firma itu menjangkakan beberapa cabaran termasuk peluasan skop SST yang merangkumi perkhidmatan penyewaan, sekali gus meningkatkan kos operasi penyewa dan mengehadkan potensi pelarasan sewa, selain memberi kesan kepada pengguna.
"Kami menganggarkan kadar hasil pengagihan 12 bulan ke hadapan berbanding Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) 10 tahun kini berada pada 1.9%, sedikit melepasi purata 10 tahun dahulu iaitu 1.8%," tambah CIMB Research.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "neutral" terhadap sektor REIT, dengan Axis-REIT menjadi pilihan utama berikutan potensi peningkatan harga sasaran tertinggi serta hasil pengagihan antara 5.2% hingga 5.8% bagi FY25 hingga FY27.- DagangNews.com
standard

