hamden10/09/2026 - 14:11 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 10 Sept - Sektor utiliti dijangka mencatat prestasi lebih kukuh pada separuh kedua 2026 (2H26), didorong permintaan elektrik yang kekal berdaya tahan serta peningkatan pelaburan dalam peralihan tenaga.
BIMB Securities mengekalkan penarafan ‘overweight’ terhadap sektor utiliti serta tidak mengubah unjuran pendapatan 2026, dengan pertumbuhan keuntungan teras sektor dijangka sekitar 10.6% tahun ke tahun (y-o-y).
“Pemangkin utama 2H26 kekal utuh,” katanya dalam nota penyelidikan. Firma itu menambah, keputusan suku kedua tahun kewangan 2026 (2Q26) tidak memberikan sebab untuk pihaknya mengubah unjuran pendapatan.
BIMB Securities mengekalkan Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan Solarvest Holdings Bhd sebagai pilihan utama sektor, masing-masing dengan saranan ‘beli’ dan harga sasaran RM16.77 serta RM3.24.
Jumlah keuntungan sektor meningkat 3.4% y-o-y pada 2Q26, walaupun susut 12% berbanding suku sebelumnya, dipacu terutamanya oleh TNB, Ranhill Utilities Bhd dan Solarvest.
Permintaan elektrik terus kukuh
BIMB Securities berkata TNB terus mendapat manfaat daripada permintaan elektrik yang kukuh apabila jualan elektrik meningkat 9% secara suku ke suku.
Pemangkin lebih besar bagi TNB ialah peningkatan perbelanjaan modal (capex), khususnya ketika permintaan elektrik mencatat paras tertinggi baharu.
TNB membelanjakan RM7.1 bilion pada 1H26, termasuk RM5.6 bilion bagi capex terkawal, berbanding sasaran RM18 bilion untuk 2026.
Firma itu menjangkakan perbelanjaan itu meningkat dengan ketara pada 2H26 apabila kerja fizikal bagi projek infrastruktur semakin rancak.
Sistem elektrik turut merekodkan permintaan puncak baharu sebanyak 22,014 megawatt (MW) pada Ogos, dengan permintaan komersial khususnya daripada pusat data menjadi antara pemacu utama.
“Ini bermakna keperluan untuk pelaburan grid semakin mendesak, sekali gus mendorong peningkatan capex yang positif kepada pendapatan terkawal TNB dalam jangka sederhana,” katanya.
Prospek TNB turut selari dengan trend peningkatan permintaan elektrik daripada pusat data, yang semakin menjadi pemacu kepada penggunaan komersial. - DagangNews.com





