'Selagi belum melahirkan, apa-apa saja boleh terjadi’ – Neelofa pilih tak umum kehamilan, lebih hargai doa selepas lihat cabaran ibu lain

Family & ParentingLifestyle
16 Aug 2026 • 5:25 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: 'Selagi belum melahirkan, apa-apa saja boleh terjadi’ – Neelofa pilih tak umum kehamilan, lebih hargai doa selepas lihat cabaran ibu lain

KETERUJAAN menyambut kehadiran orang baharu dalam keluarga pastinya menjadi momen paling dinanti-nantikan oleh setiap pasangan suami isteri.

Namun, bagi pengacara dan usahawan sensasi, Neelofa, pengalaman bergelar ibu banyak mengajar dirinya untuk lebih selesa mengambil pendekatan mengunci mulut dan tidak terlalu terbuka berkongsi fasa kehamilannya kepada umum.

Rentetan spekulasi dan teka-teki peminat mengenai penampilan terbaharunya di media sosial yang seolah-olah menampakkan 'baby bump', isteri kepada pendakwah bebas, PU Riz ini tampil tenang memberikan jawapan.

Selebriti jelita itu memberitahu, dia tetap dengan pendirian asalnya untuk tidak mengumumkan kehamilan anak ketiga secara rasmi.

Bagi Neelofa atau pemilik nama sebenar, Noor Neelofa Mohd Noor, sepanjang mengandungkan dua cahaya matanya terdahulu, dia memang tidak pernah menguar-uarkannya di platform media sosial kerana merasakan ia bukanlah satu keperluan yang mendesak.

Image from: 'Selagi belum melahirkan, apa-apa saja boleh terjadi’ – Neelofa pilih tak umum kehamilan, lebih hargai doa selepas lihat cabaran ibu lain

"Saya tak pernah buat pengumuman pun mana-mana anak sebelum ini. Nanti bila melahirkan baru kita buat pengumuman, itu yang terbaik. Sebab selagi tak melahirkan, apa-apa saja boleh terjadi kan.

"Semua orang nampak badan saya berubah, saiz berbeza... Jadi, yang terbaik adalah doa.

"Supaya proses perjalanan ini dipermudahkan dan sihat, malah fasa seterusnya turut dipermudahkan," luahnya penuh hemah.

Bukan sahaja tentang usia kehamilan, malah soal jantina zuriat yang bakal lahir juga disimpan kemas sebagai satu privasi berharga buat keluarganya.

Pengumuman  jantina

Mengulas lanjut mengenai hal tersebut, selebriti berusia 37 tahun itu mendedahkan, sebarang perkongsian atau pengumuman jantina hanya dilakukan secara sangat tertutup, khusus buat keluarga mentua, adik-beradik serta ibu bapanya sahaja tanpa melibatkan pihak luar mahupun sepupu.

Image from: 'Selagi belum melahirkan, apa-apa saja boleh terjadi’ – Neelofa pilih tak umum kehamilan, lebih hargai doa selepas lihat cabaran ibu lain

Seiring dengan kematangan usia, pemilik empayar jenama Naelofar tersebut mengakui perspektifnya terhadap fasa kehamilan turut berubah.

Mendengar khabar duka tentang liku-liku wanita lain yang berjuang demi mendapatkan zuriat membuatkan dirinya lebih merendah diri.

"Dulu mungkin kita tak pandai nak hargai sangatlah, tapi bila kita makin berusia dan makin melihat ramai orang di luar sana berdepan cabaran serta komplikasi kehamilan, saya jadi sangat menghargai doa orang ramai.

"Saya sangat-sangat syukuri dan memang perlukan doa kalian, terima kasih... saya hargai sangat," katanya dengan nada penuh kesyukuran.

Tambahnya lagi, realiti kehidupan yang memperlihatkan ramai wanita tidak bernasib baik dan tidak sempat merasai hari kelahiran bayi mereka membuatkan dia mengambil keputusan untuk lebih berhati-hati.

Penyakit  Ain

Neelofa enggan terlalu beria membuat persediaan atau hebahan sebelum masanya tiba.

Meskipun bagi ibu-ibu hamil yang tidak berdepan masalah kesihatan disifatkan sebagai satu rezeki besar, namun langkah berjaga-jaga perlu sentiasa dipraktikkan memandangkan bayi di dalam kandungan itu masih satu perkara 'ghaib'.

Fokus utamanya kini hanyalah memohon kemudahan, keselamatan, dan kesihatan daripada ALLAH SWT sebelum berkongsi sebarang berita gembira kelak.

Dalam pada itu, Neelofa turut berkongsi pemerhatiannya mengenai kesedaran masyarakat pada hari ini terhadap 'penyakit Ain'. Menurutnya, trend segelintir ibu bapa masa kini yang bertindak menutup wajah anak-anak mereka di media sosial adalah satu perkembangan yang sangat positif kerana masyarakat kini semakin terdedah dan faham mengenai bahaya pandangan mata yang mampu membawa kemudaratan.

Untuk rekod, Neelofa dan PU Riz yang disatukan sebagai pasangan suami isteri pada 27 Mac 2021 telah mencipta kebahagiaan tersendiri apabila mahligai cinta mereka diserikan dengan kehadiran dua cahaya mata lelaki iaitu Bilal yang kini berusia empat tahun dan Abbas, tiga tahun.

Pastinya, doa yang berterusan daripada peminat setia sentiasa mengiringi perjalanan kehamilan selebriti kesayangan ramai ini agar segalanya dipermudahkan kelak.

Image from: 'Selagi belum melahirkan, apa-apa saja boleh terjadi’ – Neelofa pilih tak umum kehamilan, lebih hargai doa selepas lihat cabaran ibu lain

Nilofa  Banana  Milk

Neelofa berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran susu pisang.

Selepas lima tahun, Nilofa Banana Milk kembali ke pasaran dengan lembaran baharu menerusi Nilofa Group. Jenama tempatan itu dilancarkan semula hari ini di Flint, The Curve, Petaling Jaya, dengan sasaran menjual empat juta unit menjelang akhir 2026 serta rancangan untuk mengembangkan pasaran ke peringkat serantau dan antarabangsa.

Pertama kali diperkenalkan pada 23 November 2019, Nilofa Banana Milk pernah mencatat jualan lebih tujuh juta unit sebelum pengeluarannya dihentikan pada Jun 2022 susulan kesan pandemik COVID-19. Jualan kini disambung semula di seluruh negara bermula 24 Julai 2026.

Image from: 'Selagi belum melahirkan, apa-apa saja boleh terjadi’ – Neelofa pilih tak umum kehamilan, lebih hargai doa selepas lihat cabaran ibu lain

Bagi menyokong pertumbuhan baharu, Nilofa turut memperkenalkan ekosistem 50 Rakan Niaga terpilih di seluruh negara. Model ini memberi tumpuan kepada kerjasama lebih rapat antara syarikat dan usahawan dalam membangunkan pasaran, komuniti pelanggan serta rangkaian stokis, sekali gus membuka lebih banyak peluang keusahawanan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved