Selangor miliki kekuatan sebagai hab perkhidmatan perniagaan global

LocalBusiness & Finance
4 Aug 2026 • 3:35 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Selangor miliki kekuatan sebagai hab perkhidmatan perniagaan global

SHAH ALAM, 4 OGOS: Beberapa negara termasuk Amerika Syarikat dan Jepun disasarkan membuka pejabat perkhidmatan perniagaan global (GBS) di Selangor, sekali gus memperkukuh kedudukan negeri ini sebagai hab ibu pejabat serantau.

EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Ng Sze Han berkata kehadiran syarikat antarabangsa menerusi GBS mampu menawarkan peluang pekerjaan bernilai tinggi selain memperluas ekosistem pelaburan negeri.

"Banyak negara pilihan selain Singapura...antara destinasi pelaburan penting adalah China, Eropah, Amerika Syarikat dan Jepun merupakan sasaran untuk promosi sebagai destinasi pejabat GBS mereka.

"Kerajaan Negeri memberi tumpuan berbeza mengikut ketersediaan kawasan masing-masing seperti Hulu Selangor kita berhasrat menjadikan Serendah hingga ke Lembah Beringin sebagai lembah automotif.

"Manakala utk GBS pula di bandar kita ada kekuatan seperti di Petaling Jaya, Subang Jaya, Sunway dan Shah Alam...ada kekuatan kerana infrastruktur yang lengkap bagi perkhidmatan GBS," katanya menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negeri Batu Tiga Danial Al-Rashid pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Sze Han turut memaklumkan dengan adanya penambahan GBS di Selangor dapat menawarkan peluang pekerjaan berimpak tinggi khususnya kepada anak muda.

"Selama ini kita banyak cakap banyak peluang pekerjaan. Sektor yang kita promosi seperti automotif, aeroangkasa, semikonduktor ini adalah untuk graduan latar belakang kejuruteraan.

"Bagaimana dengan bukan kejuruteraan. Jadi dengan adanya GBS, kita dapat tawar peluang pekerjaan berimpak tinggi kepada graduan seperti perundangan, perakaunan, sumber manusia dan data sains. Ini akan melengkapkan peluang pekerjaan untuk anak muda," katanya.

Terdahulu, Sze Han memaklumkan Selangor berpotensi mengembangkan lagi kedudukannya sebagai hub ibu pejabat serantau biarpun perlu bersaing dengan Singapura yang menawarkan ekosistem pasaran modal dan kecairan kewangan.

Jelasnya, potensi itu melalui ketersediaan ekosistem syarikat MNC sedia ada, di mana syarikat-syarikat antarabangsa telah pun membuka pejabat GBS di Selangor.

"Menurut GBS Malaysia Strategy 2022-2027, 87 peratus daripada keseluruhan syarikat GBS terletak di Selangor dan Kuala Lumpur. Contohnya seperti Shell Business Operations yang baru berpindah ke Subang Jaya. Di Petaling Jaya, kita mempunyai SLB (Schumberger), AstraZeneca dan Nestle.

"Manakala, DHL Asia Pacific IT Services dan AIA Shared Services telah bertapak di Cyberjaya dan DayThree Digital di Shah Alam. Malah, berdasarkan Indeks Lokasi Perkhidmatan Global 2025, Malaysia terus berada di kedudukan utama sebagai lokasi GBS paling kompetetif di dunia, iaitu ketiga selepas India dan China dengan anggaran pendapatan direkodkan mencecah RM28.14 bilion daripada 749 GBS aktif," katanya.

Oktober tahun lalu, Kerajaan Negeri melancarkan Kertas Putih GBS bagi memperkukuh kedudukan negeri dalam sektor berkenaan, sekali gus merangka pelaksanaan program pembangunan bakat khusus bermula tahun hadapan.

Inisiatif tersebut dilaksanakan melalui kerjasama dengan syarikat pengurusan hartanah Knight Frank serta badan pemerkasaan industri GBS Malaysia, bertujuan meningkatkan keupayaan Selangor dan membina ekosistem lebih kukuh bagi syarikat-syarikat tempatan dan antarabangsa.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved