Selangor peruntuk RM101 juta perkukuh jaminan bekalan air bersih

LocalPolitics
13 Nov 2026 • 4:07 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Selangor peruntuk RM101 juta perkukuh jaminan bekalan air bersih

SHAH ALAM, 13 NOV: Sebanyak RM101 juta diperuntukkan bagi meneruskan usaha menjamin bekalan air bersih di Selangor, termasuk melindungi operasi loji rawatan air daripada gangguan akibat pencemaran sumber air mentah.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha itu akan diteruskan menerusi Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) bagi memastikan operasi loji rawatan air (LRA) kekal beroperasi meskipun berdepan risiko pencemaran.

Selain itu, katanya, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mencadangkan peruntukan RM1 juta bagi pembangunan takungan luar sungai menerusi Skim Simpanan Air Luar Sungai Selangor (SORSS), selain RM150,000 untuk sistem pensampelan automatik air mentah.

“Takungan alternatif memberi pilihan ketika sumber biasa terjejas. Pensampelan automatik, telemetri sungai dan pemantauan satelit SESAMS membantu agensi mengesan perubahan lebih awal dan menentukan tindakan yang diperlukan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2027 di Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Bagi memperkukuh perancangan sumber air negeri, Amirudin berkata RM3.5 juta turut diperuntukkan tahun depan untuk kajian Pelan Induk Air Negeri Selangor yang dijadualkan siap pada 2028.

“Pelan berkenaan akan menyelaraskan pengurusan air mentah, air terawat dan air kumbahan dengan pengurusan banjir bagi memastikan perancangan sumber air negeri lebih menyeluruh,” katanya

Image from: Selangor peruntuk RM101 juta perkukuh jaminan bekalan air bersih
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melihat stesen pam SJAM majlis Penyerahan Projek Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) Pakej A dan Pakej C di Kolam Horas, Kuala Selangor pada 13 Mei 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Dalam pada itu, Rancangan Selangor Kedua (RS-2) turut mengenal pasti keperluan memperluas kapasiti rawatan air menerusi beberapa projek utama, termasuk Rasau, Langat 2 dan Labohan Dagang.

Menurut Amirudin, Rasau Fasa 2 dirancang menambah kapasiti rawatan sebanyak 700 juta liter sehari, manakala Labohan Dagang Fasa 2 sebanyak 200 juta liter sehari.

Bagaimanapun, katanya, peningkatan kapasiti rawatan perlu disokong rangkaian agihan yang berdaya tahan menerusi penggantian paip usang, pembaikan loji serta pengukuhan keterhubungan grid air.

“Antara sasaran yang digariskan ialah menurunkan kadar air tidak berhasil (NRW) daripada 26.3 peratus kepada 25.8 peratus serta melengkapkan keterhubungan 36 terminal takungan menjelang hujung 2028.

“Rangkaian yang lebih terhubung memberi lebih ruang untuk mengalihkan bekalan apabila satu bahagian sistem mengalami gangguan,” katanya.

Sebelum ini, EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim berkata Selangor mencatat pencapaian terbaik apabila tiada gangguan bekalan air berskala besar sejak tahun lalu, khususnya selepas pelaksanaan SJAM.

Katanya, kejayaan itu didorong tindakan pantas dan berkesan menerusi skim berkenaan yang membantu mengekalkan kestabilan bekalan meskipun berlaku pencemaran sumber air.

Pemantauan berterusan juga membolehkan operasi loji rawatan air diteruskan tanpa henti tugas akibat pencemaran, sekali gus mengelakkan gangguan kepada pengguna.

SJAM dilaksanakan Selangor sejak 28 Oktober 2020 bagi memastikan bekalan air mentah mencukupi dan berkualiti, terutama ketika musim kemarau atau berlakunya pencemaran air.

Skim itu dilaksanakan menerusi dua fasa, iaitu Fasa 1 bagi menangani isu pencemaran air di Sungai Selangor, manakala Fasa 2 bertujuan memastikan kecukupan sumber air mentah ketika musim kemarau.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved