Selangor peruntuk lebih RM130 juta untuk SUKMA 2026, tekankan perbelanjaan berhemah

17 Nov 2026 • 3:45 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Selangor peruntuk lebih RM130 juta untuk SUKMA 2026, tekankan perbelanjaan berhemah

SHAH ALAM, 17 NOV: Kerajaan Negeri memperuntuk lebih RM130 juta bagi pengurusan operasi dan penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 termasuk Para SUKMA.

EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi berkata peruntukan itu disalurkan mengikut keperluan setiap komponen bagi memastikan persiapan, penyelarasan dan pengoperasian temasya dwitahunan berjalan lancar.

"Daripada jumlah tersebut, RM56.8 juta untuk SUKMA, manakala Para SUKMA RM15 juta, kemudian sukarelawan RM11.1 juta dan infrastruktur sukan pula RM48 juta.

"Kerajaan Negeri komited memastikan setiap peruntukan yang disediakan dimanfaat secara optimum dengan mengambil kira prinsip kecekapan perbelanjaan, akauntabiliti dan tadbir urus kewangan yang baik," katanya menjawab soalan wakil rakyat Rawang Chua Wei Kiat berkaitan perbelanjaan sebenar SUKMA 2026 pada sesi pertanyaan lisan Persidangan Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Image from: Selangor peruntuk lebih RM130 juta untuk SUKMA 2026, tekankan perbelanjaan berhemah
EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi ketika Persidangan Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 17 November 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bagi perbelanjaan untuk sekretariat pula, peruntukan dibelanjakan Kerajaan Negeri berjumlah RM51.97 juta termasuk Para SUKMA sebanyak RM3.01 juta.

"Secara keseluruhannya, perbelanjaan meliputi keperluan pengurusan operasi sekretariat merangkumi emolumen termasuk pembayaran berkaitan sumber manusia dan perolehan aset serta kelengkapan pejabat.

"Bagi venue pertandingan pula, keseluruhan perbelanjaan bernilai RM48.04 juta merangkumi kerja baik pulih dan naik taraf infrastruktur serta kemudahan sukan. Namun, perbelanjaan tidak termasuk yang dilaksana pihak berkuasa tempatan, agensi dan pihak swasta," katanya.

Tambahnya, Kerajaan Negeri memastikan setiap perbelanjaan berdasarkan keperluan sebenar, mematuhi tatacara kewangan dan perolehan serta mengutamakan ketelusan serta nilai faedah terbaik.

Mohd Najwan turut menjelaskan, Kerajaan Negeri tidak terlibat secara langsung dalam penganjuran termasuk kewangan bagi penganjuran Sukan SEA 2027.

"Kementerian Belia dan Sukan adalah agensi yang bertanggungjawab sepenuhnya penganjuran Sukan SEA yang dijadual berlangsung pada 18 hingga 29 September depan melibatkan kluster Sarawak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor," ujarnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved