Selesai pendaftaran pelarian sebelum benarkan bekerja

LocalPolitics
21 Aug 2026 • 12:58 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Selesai pendaftaran pelarian sebelum benarkan bekerja

PETALING JAYA: Tidak wajar untuk memberikan hak bekerja secara sah kepada pelarian dan pencari suaka selagi isu pendaftaran, pengesahan identiti dan kawalan imigresen belum diselesaikan secara menyeluruh.

Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Datuk Seri Halim Ishak berkata, cadangan berkenaan perlu diteliti dan tidak seharusnya dilaksanakan secara tergesa-gesa, meskipun terdapat keperluan melindungi golongan rentan daripada eksploitasi.

Katanya, antara perkara yang perlu diberi keutamaan adalah memastikan setiap pelarian dan pencari suaka mempunyai status yang jelas, boleh dipantau serta tertakluk kepada mekanisme pengurusan yang berkesan.

“Kami bimbang pemberian hak bekerja tanpa kawalan yang benar-benar berkesan boleh mewujudkan faktor penarik baharu dan secara tidak langsung menjadikan Malaysia lebih menarik sebagai destinasi migrasi ekonomi sedangkan negara masih berdepan dengan isu pengurusan warga asing yang besar.

“Kerajaan juga perlu berhati-hati dari sudut persepsi dan ketegasan dasar imigresen negara lebih-lebih lagi ketika Malaysia sedang membangunkan sistem Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) manakala jumlah pelarian dan pencari suaka berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dilaporkan melebihi 215,000 orang pada Februari 2026.

“Dalam keadaan ini, keutamaan kerajaan sepatutnya adalah memperkukuh sistem pengesahan, pemantauan dan penguatkuasaan terlebih dahulu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, kerajaan diminta memberikan hak bekerja kepada pelarian dan pencari suaka di negara ini kerana ia dapat membantu mengatasi pelbagai masalah sosial membabitkan golongan itu selain menyelesaikan isu pekerja asing dan dapat memberi nilai tambah.

Halim berkata, sebarang kelonggaran dasar perlu diperhalusi supaya tidak memberi gambaran bahawa Malaysia merupakan destinasi terbuka kepada kemasukan migran secara tidak terkawal.

Beliau menegaskan, sebarang dasar baharu mesti mengambil kira kepentingan keselamatan, peluang pekerjaan rakyat tempatan, kesihatan awam, keharmonian sosial serta keupayaan sebenar negara untuk menguruskan populasi warga asing sedia ada.

“Kami maklum bahawa pemberian hak bekerja secara sah dapat mengurangkan eksploitasi buruh, memperluas pemantauan majikan dan mengurangkan pekerjaan tidak formal. Malah, ada yang berpandangan ia boleh membantu memenuhi kekurangan tenaga kerja.

“Bagaimanapun, penyelesaian kepada masalah eksploitasi tidak semestinya memerlukan pemberian hak bekerja secara terbuka. Kerajaan perlu memastikan mekanisme saringan keselamatan, pemeriksaan kesihatan, rekod biometrik, kawalan majikan, sektor pekerjaan yang dibenarkan serta had tempoh bekerja benar-benar kukuh.

“Tanpa mekanisme itu, wujud risiko pertindihan antara status pelarian, pencari suaka, migran ekonomi dan warga asing tanpa dokumen sehingga boleh menyukarkan penguatkuasaan undang-undang serta menambahkan tekanan terhadap sistem sosial dan perkhidmatan awam negara,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu menangani isu lambakan warga asing sedia ada dan memperkukuh kawalan sempadan sebelum menjadikan hak bekerja kepada pelarian sebagai antara penyelesaian utama.

“Kami menghormati hak asasi serta keperluan kemanusiaan golongan yang benar-benar memerlukan perlindungan. Namun, kepentingan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia juga mesti menjadi pertimbangan utama.

“Dasar kemanusiaan hendaklah berjalan seiring dengan ketegasan imigresen, keselamatan negara dan kepentingan rakyat,” katanya. – UTUSAN

The post Selesai pendaftaran pelarian sebelum benarkan bekerja appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved