
PETALING JAYA – Pelaksanaan MyKad Generasi Baharu yang bermula hari ini mencuri perhatian apabila beberapa individu teruja berkongsi pengalaman menjadi antara penerima terawal kad pengenalan berwajah baharu itu.
Menerusi perkongsian di Threads, seorang pengguna dikenali sebagai Amir Irfan memuat naik gambar MyKad baharunya sambil berseloroh mengenai kemungkinan dia menjadi rakyat Malaysia pertama menerimanya.
“Aku rakyat Malaysia pertama ke dapat kad pengenalan baru? Boleh menunjuk dekat anak cucu nanti,” tulisnya.
Perkongsian tersebut mendapat perhatian ramai apabila meraih lebih 85,000 tontonan ketika tinjauan dibuat, selain ratusan tanda suka dan perkongsian.
Menjawab pertanyaan pengguna mengenai tempoh menunggu, Amir memaklumkan proses mendapatkan MyKad berkenaan mengambil masa kira-kira sejam.
Dalam pada itu, seorang lagi pengguna Threads, Azwardhiyauddin turut berkongsi keterujaan selepas dia bersama rakannya menerima MyKad Generasi Baharu di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kelantan.
“Done FOMO (takut ketinggalan) IC baru (manusia pertama dan kedua di bumi memiliki IC baru),” selorohnya.
Tinjauan di media sosial mendapati beberapa lagi pengguna mula berkongsi pengalaman mendapatkan kad berkenaan di cawangan JPN berbeza susulan pengeluaran rasminya bermula hari ini.
MyKad Generasi Baharu mula dikeluarkan secara berperingkat pada hari ini, dengan semua permohonan yang tidak bermasalah serta memenuhi syarat ditetapkan akan menerima versi baharu itu.
Sebanyak 40 cawangan JPN di seluruh negara yang mempunyai kemudahan cetakan boleh menyiapkan MyKad Generasi Baharu pada hari sama, manakala permohonan di cawangan tanpa kemudahan berkenaan mengambil masa sehingga lima hari bekerja.
MyKad baharu itu dilengkapi 53 ciri keselamatan berbanding 23 sebelum ini, antaranya kod QR bagi tujuan pengesahan dan penguatkuasaan, hologram, teks mikro, ciri keselamatan ultraungu, turihan laser serta cip dengan tahap enkripsi lebih tinggi.
Bagaimanapun, orang ramai tidak diwajibkan menukar MyKad sedia ada semata-mata untuk mendapatkan versi baharu selagi kad lama masih berada dalam keadaan baik dan boleh digunakan.
JPN turut menasihatkan orang ramai supaya tidak berpusu-pusu membuat penggantian bagi mengelakkan kesesakan di pejabatnya kerana MyKad sedia ada masih sah digunakan. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Selesai tukar ic baru’ appeared first on Kosmo Online.






