
HONG KONG – Seorang wanita warga China dipenjara selama empat minggu selepas cuba menyeludup 781 batang rokok ke Hong Kong dengan menyembunyikannya di dalam coli dan seluar legging, lapor laman berita The Standard.
Wanita berusia 57 tahun itu diberkas di Lok Ma Chau Spur Line Control Point selepas pegawai kastam menemukan 781 batang rokok yang diisytiharkan, baru-baru ini.
Nilai rampasan dianggarkan sekitar HK$3,900 (RM2,034), manakala jumlah duti tidak dibayar sebanyak HK$2,600 (RM1,356).
Imej dikongsi oleh Kastam Hong Kong menunjukkan sejumlah rokok bersama coli serta seluar legging yang digunakan untuk menyembunyikan kesemua barangan itu.
Wanita berkenaan didakwa atas kesalahan memiliki rokok yang tiada duti kastam dan gagal membuat pengisytiharan.
Dia dihadapkan ke Mahkamah Majistret Fanling kelmarin dan dijatuhi hukuman penjara selama empat minggu serta denda HK$1,000 (RM522).
Orang ramai dinasihatkan bahawa mengimport, mengendalikan, memiliki, menjual atau membeli rokok seludup adalah satu kesalahan yang boleh berdepan denda maksimum HK$2 juta (RM1 juta) dan penjara sehingga tujuh tahun. – AGENSI
The post Seludup 781 rokok dalam coli, wanita warga China dipenjara empat minggu appeared first on Kosmo Digital.





