Sembilan sindiket keldai dadah tumpas, RM33.4 juta nilai rampasan

23 Sep 2026 • 1:19 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Sembilan sindiket keldai dadah tumpas, RM33.4 juta nilai rampasan

SHAH ALAM: Taktik sembilan sindiket pengedaran dadah antarabangsa memperdaya warga asing dengan tawaran pekerjaan serta pakej pelancongan percuma sebelum menjadikan mereka ‘keldai dadah’ terbongkar selepas 10 siri serbuan di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Sepang.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Selangor merampas 418 kilogram (kg) bunga ganja bernilai RM33.4 juta menerusi operasi yang dijalankan bermula 28 Ogos hingga 21 September lalu.

Operasi dilaksanakan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA bersama Polis Bantuan Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB).

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata modus operandi sindiket adalah dengan menjanjikan pakej percutian ke Malaysia kepada mangsa dari negara asal sebelum mengarahkan mereka membawa pulang bagasi yang bukan milik mereka.

“Apabila tiba di Malaysia, mereka dikehendaki membawa balik bagasi yang bukan milik mereka. Bagasi ini akan diberikan sindiket di lobi hotel, dan terdapat dadah yang disembunyi di dalamnya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini, lapor Harian Metro.

Menurutnya, siasatan mendapati dadah berkenaan disasarkan untuk dibawa keluar dari Malaysia ke pasaran antarabangsa termasuk negara di Eropah, manakala 12 suspek berusia antara 17 hingga 62 tahun ditahan sepanjang operasi.

Daripada jumlah itu, 11 merupakan warga asing terdiri daripada empat lelaki dan tujuh wanita yang dipercayai bertindak sebagai ‘keldai dadah’, manakala seorang lelaki tempatan disyaki menjadi ‘runner’.

Kesemua sembilan sindiket itu dipercayai tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain.

Shazeli berkata polis turut merampas 671 bungkusan plastik mengandungi ketulan mampat disyaki bunga ganja yang dianggarkan boleh menampung penggunaan 1.39 juta penagih. Saringan awal air kencing mendapati semua suspek bebas daripada pengaruh dadah.

Semakan dokumen perjalanan mendapati warga asing terbabit menggunakan pas lawatan sosial untuk memasuki negara ini buat kali pertama, manakala semua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau di Malaysia.

Enam suspek sudah didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, sementara baki enam masih direman bagi membantu siasatan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved