
KUALA LUMPUR: Polis merampas sebanyak 51.686 kilogram (kg) serbuk dadah disyaki MDMA bernilai RM7.75 juta dalam serbuan ke atas satu unit kediaman di sebuah kondominium di Jalan Ceylon, di sini, pada Ogos lalu.
Menerusi serbuan dijalankan pada pukul 3.30 petang pada 19 Ogos lalu itu dilakukan hasil maklumat dan risikan yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintenden Nuzulan Mohd. Din berkata, dadah berkenaan akan diproses sebelum dipasarkan ke sekitar Lembah Klang.
Katanya, seramai lima individu berusia antara 19 hingga 35 tahun ditahan dalam serbuan berkenaan membabitkan dua lelaki dan dua wanita bukan warganegara serta seorang lelaki warga tempatan.
Jelasnya, hasil pemeriksaan menemukan 51 paket serbuk MDMA dengan anggaran berat keseluruhan 51.686kg, manakala nilai rampasan dianggarkan RM7,752,900.
“Susulan daripada siasatan serbuan pertama membawa kepada penahanan seorang lelaki bukan warganegara berusia 35 tahun yang mempunyai kaitan dengan serbuan pertama.
“Polis turut merampas pelbagai jenis dadah dalam serbuan susulan itu termasuk 5,901 gram MDMA, 55kg ganja, lapan kg ‘Pili Abah’ dan 150kg ‘Pil SSI’, dengan nilai keseluruhan rampasan tambahan dianggarkan RM908,455,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini, hari ini.
Nuzulan berkata, pihaknya turut merampas pelbagai peralatan untuk memproses dadah turut dirampas.
Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati empat suspek positif dadah jenis ketamin, Amphetamine dan Methamphetamine, manakala dua lagi suspek negatif.
“Siasatan mendapati semua suspek, termasuk lelaki warga tempatan, dipercayai berperanan sebagai pemproses dan pengedar dadah di kondominium berkenaan sejak empat bulan lalu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 12 kali,” katanya.
Pihak polis turut menyita harta suspek bernilai RM9,076,655 mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, termasuk sebuah kenderaan jenis Lexus bernilai RM410,000, wang tunai RM2,500, jam tangan RM2,500 dan gelang RM1,800.
Nuzulan berkata, empat suspek dituduh mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama, manakala dua suspek lain dijadikan saksi pendakwaan.
“Kesemua suspek sudah dituduh di mahkamah pada 2 September lalu,” jelasnya. – UTUSAN
The post Serbuk MDMA RM7.75 juta dirampas, lima ditahan appeared first on Utusan Malaysia.






