
TANAH MERAH – Allahyarham Kamarool Yusoff atau lebih dikenali sebagai Cik Man, 67, sempat terbabit dalam penggambaran satu video jenama sebuah produk sebelum dimasukkan ke Hospital Tanah Merah selepas secara tiba-tiba mengadu sakit malam kelmarin.
Arwah Kamarool yang ditidurkan di unit rawatan rapi (ICU) hospital berkenaan susulan masalah saluran jantung tersumbat menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 5.15 petang semalam.
Isteri Allahyarham, Norliza Mohd. Aduni, 49, berkata, suaminya keluar ke Machang untuk menjalani penggambaran kira-kira pukul 9 pagi kelmarin sebelum pulang awal ke rumah di Kampung Kuala Paku, Gual Ipoh di sini.
Katanya, Allahyarham suaminya mengadu letih dan mengadu sakit akibat gastrik lalu membawanya ke Hospital Tanah Merah kira-kira pukul 11 malam bagi mendapat rawatan.
“Arwah ketika itu berada dalam keadaan tercungap-cungap dan terpaksa menggunakan bantuan mesin oksigen kerana masalah jantung.
“Bagaimanapun, keadaannya semakin tenat sebelum terpaksa ditidurkan sebelum meninggal dunia kira-kira pukul 5.15 petang,” katanya ketika ditemui di Kampung Kuala Paku, Gual Ipoh di sini hari ini.
Allahyarham meninggalkan isteri dan dua anak iaitu Ahmad Fakhrul Alif, 23 ,dan Nur Najihah, 27.
Terdahulu, Allahyarham Kamarool dimandi dan dikafankan di Masjid Kampung Kuala Paku, Gual Ipoh sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gual Petai Lima di sini.
Kira-kira 200 termasuk ahli keluarga, saudara mara dan penduduk kampung hadir ketika upacara pengebumian arwah pada pukul 11.20 pagi.
Norliza memberitahu, Allahyarham suaminya yang pernah mengalami serangan jantung kira-kira dua tahun lalu tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum meninggal dunia kecuali mengadu letih sejak tiga minggu kebelakangan ini.
“Arwah merupakan seorang yang baik dan bertanggungjawab selain peramah dengan penduduk kampung di sini. Sebelum ini, dia tidak mahu menjalani penggambaran drama yang mempunyai banyak episod.
“Kebiasaannya arwah akan menyertai penggambaran melibatkan tempoh sehari seperti iklan produk. Kali terakhir dia muncul di kaca televisyen ketika diundang ke rancangan Malaysia Hari Ini pada bulan lalu,” katanya.
Kosmo! Online semalam melaporkan, Allahyarham Kamarool atau lebih dikenali sebagai Cik Man meninggal dunia kira-kira pukul 5.15 petang semalam.
Anak keduanya, Fakhrol Aliff mengesahkan perkara tersebut selepas diberitakan arwah bapanya menghembuskan nafas terakhir di Hospital Tanah Merah. – KOSMO! ONLINE
The post Dia suami yang baik, bertanggungjawab – Isteri arwah Cik Man appeared first on Kosmo Digital.






