Semua agensi siasat sungai ditimbus sisa Singapura

LocalEnvironment
24 Aug 2026 • 11:18 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Semua agensi siasat sungai ditimbus sisa Singapura

PONTIAN – Kerajaan Negeri Johor mahu siasatan menyeluruh dilakukan berhubung dakwaan aktiviti penambakan sisa bahan binaan di Sungai Simpang Kiri, Mukim Sungai Karang, di sini yang didakwa menjejaskan pendapatan nelayan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Md. Israk Abdullah berkata, semua agensi berkaitan perlu menjalankan siasatan mengikut bidang kuasa masing-masing bagi mengenal pasti punca sebenar masalah berkenaan.

Menurutnya, masyarakat nelayan yang mendakwa terjejas juga perlu membuat laporan polis bagi membolehkan perkara itu disiasat secara rasmi dan tindakan lanjut diambil berdasarkan hasil siasatan.

“Kita tidak boleh buat kesimpulan atau tuntutan pampasan tanpa laporan polis serta siasatan lengkap daripada agensi dan jabatan berkaitan seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Pejabat Tanah Daerah (PTD), Jabatan Perikanan dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

“Jika benar pendapatan nelayan terjejas, kita perlu lihat di mana berlaku gangguan, sejauh mana kesannya dan apa punca­nya,” katanya ketika melakukan tinjauan di Sungai Simpang Kiri di sini semalam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup berkata, laporan polis penting bagi membolehkan dakwaan berkaitan penambakan, perubahan aliran air, pencemaran atau kerosakan tebing sungai disiasat secara menyeluruh.

Katanya, JAS boleh menjalankan siasatan sekiranya terdapat unsur pencemaran, manakala Jabatan Perikanan pula perlu menilai kesan terhadap aktiviti perikanan dan hasil tangkapan.

“Biar pihak-pihak yang mempunyai bidang kuasa mengambil tindakan berdasarkan hasil siasatan. Kita mahu perkara ini diselesaikan secara menyeluruh dan bukan berdasarkan dakwaan semata-mata,” katanya.

Kelmarin Kosmo! melaporkan, tindakan pihak tidak bertang­gungjawab membuang sisa ba­han binaan dari Singapura di­dakwa menyebabkan Sungai Sim­pang Kiri semakin sempit dan berbau busuk hingga menjejas­kan pendapatan nelayan.

Md. Israk berharap Pejabat Daerah Pontian dapat mengadakan perbincangan bersama semua agensi dan jabatan berkaitan bagi memastikan tindakan bersepadu dapat dilakukan.

The post Semua agensi siasat sungai ditimbus sisa Singapura appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved