Seng Fong beli syarikat getah Ghana kukuhkan sumber bahan mentah

WorldBusiness & Finance
11 Sep 2026 • 4:18 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Seng Fong beli syarikat getah Ghana kukuhkan sumber bahan mentah Image from: Seng Fong beli syarikat getah Ghana kukuhkan sumber bahan mentah hamden11/09/2026 - 16:18 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 11 Sept – Seng Fong Holdings Bhd memperoleh 51% kepentingan ekuiti dalam Rainbow Rubber Buying Center Ltd (RRBC), sebuah syarikat yang berpangkalan di Ghana, pada harga GHS280,500 (kira-kira RM100,500).

 

Pengambilalihan itu merupakan sebahagian daripada usaha kumpulan mengembangkan jejak global bagi mendapatkan bahagian pasaran yang lebih besar, selain memperkukuh sumber bahan mentahnya.

 

Dalam satu kenyataan, Seng Fong berkata pengambilalihan tersebut menyediakan sumber alternatif bahan mentah yang lebih terjamin, sekali gus mengurangkan kebergantungan kumpulan terhadap mana-mana satu rantau.

 

Langkah itu juga dibuat ketika sektor getah Asia Tenggara berdepan risiko gangguan berkaitan cuaca susulan fenomena El Niño.

 

Menurut kumpulan itu, Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO) melaporkan fenomena El Niño yang kuat semakin meningkat dan dijangka berterusan sehingga awal 2027.

 

Keadaan itu dijangka meningkatkan risiko gangguan berkaitan cuaca di kawasan pengeluaran getah di seluruh Asia Tenggara.

 

Pada masa sama, Seng Fong menjangkakan kos bahan mentah mendapat manfaat daripada harga getah yang secara relatifnya lebih rendah di Afrika.

 

Dengan pengembangan jejak operasi menerusi RRBC, kumpulan menjangkakan jumlah pengeluaran meningkat kira-kira 40,000 tan pada tahun pertama, sebelum berkembang secara berperingkat pada tahun-tahun berikutnya.

 

Pengarah Eksekutif Seng Fong, Jimmy Er Tzer Nam, berkata pengambilalihan tersebut bukan sahaja menyediakan sumber bahan mentah yang lebih terjamin di luar Asia Tenggara, malah menjadi pemacu pertumbuhan baharu kepada kumpulan.

 

“Kami kekal fokus untuk beroperasi dengan cekap, dan pengambilalihan ini menambah pemacu pertumbuhan baharu selain usaha tersebut, dengan memberikan kami sumber bahan mentah yang lebih terjamin di luar Asia Tenggara serta meletakkan kami pada kedudukan untuk meningkatkan pengeluaran dan meraih bahagian pasaran yang lebih besar,” katanya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved