hamden27/08/2026 - 10:39 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 27 Ogos - Hap Seng Plantations Holdings Bhd dijangka mencatatkan prestasi lebih kukuh pada separuh kedua 2026 (2H26), didorong pemulihan pengeluaran buah tandan segar (FFB) secara bermusim yang dijangka mencapai kemuncaknya pada suku keempat tahun ini (4Q26), selain sokongan berterusan daripada harga minyak sawit mentah (CPO) yang lebih tinggi.
RHB Research mengekalkan saranan BELI terhadap Hap Seng Plantations dengan harga sasaran (TP) baharu RM2.95, meningkat daripada RM2.60 sebelum ini, yang menawarkan potensi kenaikan sebanyak 16% serta hasil dividen sekitar 4% bagi FY27F.
Prospek lebih cerah pada 2H26 dijangka menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan pendapatan kumpulan selepas pengeluaran FFB pada suku kedua tahun ini terjejas oleh faktor bermusim dan perubahan corak penuaian.
Walaupun pengeluaran FFB susut 7% suku ke suku dan 1% tahun ke tahun pada 2Q26, pihak pengurusan menjangkakan pengeluaran akan meningkat secara beransur-ansur pada separuh kedua tahun ini sebelum mencapai paras tertinggi pada 4Q26.
"Secara kumulatif, pengeluaran FFB bagi tujuh bulan pertama 2026 meningkat 6.8% tahun ke tahun, namun masih di bawah sasaran pertumbuhan pengurusan sebanyak 16% hingga 17%," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Namun RHB Research percaya momentum pengeluaran pada bulan-bulan mendatang akan membolehkan Hap Seng Plantations mencatatkan prestasi lebih baik pada 2H26, sekali gus mengekalkan andaian pertumbuhan pengeluaran FFB sebanyak 10% bagi FY26F, diikuti 5.2% pada FY27F dan 5.1% pada FY28F.
Harga CPO tinggi beri sokongan tambahan
Prospek pengeluaran yang lebih kukuh dijangka bergabung dengan persekitaran harga CPO yang kekal memberangsangkan untuk menyokong keuntungan kumpulan pada separuh kedua tahun ini.
Pada 2Q26, harga jualan purata (ASP) CPO Hap Seng Plantations meningkat kepada RM4,630 satu tan, naik 9% berbanding suku sebelumnya dan tempoh sama tahun lalu.
Harga itu juga mencatatkan premium 2% berbanding harga rujukan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
ASP isirung sawit (PK) turut meningkat kepada RM3,723 satu tan, melonjak 8% suku ke suku dan 7% tahun ke tahun, sekali gus turut mencatatkan premium 2% berbanding harga rujukan MPOB.
Sehubungan itu, RHB mengekalkan andaian Hap Seng Plantations mampu mengekalkan premium ASP sekitar 3% hingga 4% berbanding harga MPOB bagi FY26F hingga FY28F, disokong oleh kelebihan produk dan rekod amalan ESG kumpulan.
Kos dijangka bertambah baik seiring pemulihan pengeluaran
Selain peningkatan hasil, pemulihan pengeluaran FFB pada 2H26 juga dijangka membantu menurunkan kos seunit CPO.
Kos seunit dianggarkan meningkat pada 2Q26 kerana pengeluaran FFB yang lebih rendah menjejaskan kadar penyerapan kos tetap.
Namun, apabila pengeluaran kembali meningkat secara bermusim pada 2H26, kecekapan kos dijangka bertambah baik.
"Walaupun pihak pengurusan memberi panduan pengurangan kos seunit sebanyak 7% tahun ke tahun bagi FY26, kami mengekalkan andaian yang lebih konservatif iaitu pengurangan 5%, sementara menunggu maklumat lanjut daripada taklimat keputusan," katanya.
RHB Research berkata pihaknya turut mengambil kira potensi kesan fenomena El Nino yang kuat atau sangat kuat, namun impaknya lazimnya mempunyai tempoh masa antara enam hingga 12 bulan sebelum dirasai dan dijangka hanya memberi kesan kepada pengeluaran mulai FY27F. - DagangNews.com





