Seorang lagi suspek kes samun di Teluk Intan ditahan

2 Sep 2026 • 8:56 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Seorang lagi suspek kes samun di Teluk Intan ditahan
Polis menahan seorang lelaki selepas disyaki terlibat dalam kes samun yang menyebabkan kematian lelaki warga emas di Teluk Intan pada 17 April lepas. Gambar hiasan

IPOH - Seorang lelaki ditahan selepas disyaki terlibat dalam kes samun yang menyebabkan kematian lelaki warga emas di Teluk Intan pada 17 April lepas.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Chua Kok Lian dalam kenyataan malam tadi berkata, suspek berusia 26 tahun itu ditahan pada 26 Ogos lepas di Klang, Selangor hasil Ops Kesan/Wanted yang dilaksanakan pihak polis.

Beliau berkata, penahanan tersebut merupakan hasil usaha berterusan polis dalam mengesan dan membawa individu yang dipercayai terlibat dalam kes membabitkan kematian mangsa berusia 69 tahun itu ke muka pengadilan.

Beliau berkata, sebelum ini empat rakan sejenayah suspek telah ditahan dan didakwa di mahkamah pada 7 Mei lepas di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

"Hasil siasatan lanjut, kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dan arahan telah diterima supaya suspek turut didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama.

"Suspek yang kini masih dalam tempoh reman akan dibawa ke Mahkamah Majistret Teluk Intan pada 2 September (hari ini) bagi menghadapi pertuduhan tersebut," katanya.

Justeru, Kok Lian berkata, usaha mengesan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan jenayah akan terus dipergiatkan bagi memastikan mereka dibawa ke muka pengadilan.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah diminta menyalurkan kepada pihak polis bagi membantu usaha mengekalkan keselamatan dan ketenteraman awam, khususnya di daerah Hilir Perak.

Pada 17 April lepas, media melaporkan seorang lelaki warga emas maut akibat dilibas dengan senjata tajam dipercayai parang dalam kejadian samun oleh sekumpulan lelaki di sebuah kediaman di Pekan Baru, Teluk Intan.

Kok Lian memaklumkan, ketika itu mangsa mengalami kecederaan parah di tangan kanan dan tapak tangan kiri, sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Berikutan itu pada 7 Mei lepas, empat lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Teluk Intan atas pertuduhan membunuh lelaki warga emas terbabit menggunakan senjata tajam dipercayai parang. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved