
PETALING JAYA: Seorang daripada empat mangsa terlibat kebakaran sebuah helikopter terbakar di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang, tengah hari tadi mengalami kecederaan ringan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, mangsa didapati cedera ketika berada di luar pesawat tersebut.
“Mangsa merupakan kru dan kecederaan akibat terkena serpihan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, empat individu terselamat selepas sebuah helikopter terbakar ketika hendak berlepas bagi tujuan pengujian enjin dekat Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang, tengah hari tadi.
Difahamkan, insiden membabitkan helikopter model Kamov Ka-32 di sebuah fasiliti kemudahan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pesawat di lapangan terbang terbabit
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.34 tengah hari tadi, helikopter terbakar 100 peratus.
Kejadian berlaku ketika helikopter berkenaan hendak melakukan proses berlepas (take-off) bagi menguji enjin selepas kerja-kerja pembaikan.
Empat individu yang berada di dalam helikopter itu bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri ketika kebakaran berlaku. –UTUSAN
The post Seorang mangsa helikopter terbakar cedera ringan appeared first on Utusan Malaysia.






