
KUALA LUMPUR – Selepas hampir sembilan tahun menyepi daripada kalendar Formula 1 (F1), Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bakal kembali bergema dengan deruman enjin perlumbaan berprestij dunia apabila Malaysia dipilih menjadi lokasi penganjuran Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix in Malaysia.
Perlumbaan itu dijadual berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober 2026, di antara Grand Prix Azerbaijan dan Grand Prix Singapura, sekali gus menandakan kepulangan Formula 1 ke Sepang sejak kali terakhir dianjurkan pada tahun 2017.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dicapai selepas beliau mengadakan perbincangan bersama Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain, Putera Salman bin Hamad Al Khalifa.
Beliau turut mengadakan pertemuan dengan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Formula 1, Stefano Domenicali, bagi membincangkan penganjuran perlumbaan berkenaan di Malaysia.
Menurut Anwar, Malaysia berbesar hati dapat menyokong Kerajaan Bahrain, Formula 1 dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) dalam menjayakan penganjuran Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan dan rakyat Bahrain atas kepercayaan yang diberikan kepada Malaysia untuk menjadi tuan rumah perlumbaan berprestij itu.
Katanya, kerjasama tersebut bukan sekadar melibatkan penganjuran acara sukan bertaraf dunia, malah mencerminkan hubungan persahabatan, kepercayaan dan kerjasama erat yang terjalin antara Malaysia dan Bahrain.
Menurut Formula 1, perlumbaan itu akan menggunakan nama rasmi Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix in Malaysia, namun penganjurannya masih tertakluk kepada pemeteraian beberapa perjanjian akhir, pengesahan rasmi serta kelulusan daripada Majlis Sukan Permotoran Dunia (World Motor Sport Council).
Maklumat mengenai penjualan tiket dijangka diumumkan dalam masa terdekat.
Litar Antarabangsa Sepang mula menjadi venue Formula 1 pada tahun 1999 dan menjadi antara litar kegemaran pelumba serta peminat sukan permotoran dunia.
Namun, perlumbaan terakhir di Sepang berlangsung pada tahun 2017 sebelum Malaysia tidak lagi tersenarai dalam kalendar Formula 1.
Dengan kepulangan Formula 1 ke Sepang, Malaysia bersedia menyambut kehadiran pasukan, pegawai FIA dan peminat sukan permotoran dari seluruh dunia.
Penganjuran ini juga dijangka memberi impak positif kepada sektor pelancongan, ekonomi serta mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama bagi acara sukan bertaraf antarabangsa.
The post Sepang kembali dalam kalendar Formula 1 Oktober ini, selepas hampir sedekad appeared first on MYBERITA.




