
BATU PAHAT – Kanak-kanak perempuan yang parah akibat digigit lima ekor anjing liar di halaman rumah di Kampung Tambak, Sungai Kelambu, Peserai, di sini Sabtu lalu, selamat menjalani pembedahan terhadap beberapa anggota badan semalam dan hari ini.
Ahli keluarganya yang hanya mahu dikenali sebagai Nur, 23, berkata, perkara itu dimaklumkan ibu bapa Nur Haira Watikah yang kini berada di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.
“Pembedahan berjalan lancar dan saya diberitahu doktor sedang meneliti keadaannya yang kini dilaporkan stabil. Alhamdulillah, saya berharap anak buah cepat sembuh,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Dalam pada itu, Nur berkongsi detik cemas ketika menyelamatkan Nur Haira yang diserang anjing liar kira-kira pukul 7 pagi.
“Saya masih terbayang wajah Nur Haira dan dia sangat lemah, nafasnya sangat perlahan. Saya dukung dia dalam keadaan tubuh berlumuran darah,” katanya.
Menurutnya, keadaan Nur Haira ketika itu amat menyedihkan sehingga dia tidak dapat membayangkan kesakitan yang ditanggung kanak-kanak berkenaan.
Katanya, sebelum kejadian, dia berada di dalam rumah sebelum terdengar jeritan ibunya yang menyedari Nur Haira diserang, lalu bergegas keluar untuk menyelamatkan mangsa manakala ibunya cuba menghalau anjing terbabit.
Sementara itu, Nur berkata, kejadian yang menimpa anak saudaranya itu menjawab segala kebimbangan mereka sekeluarga berhubung kehadiran anjing liar yang sudah lama berkeliaran di kawasan berkenaan.
“Kami sudah lama bimbang mengenai anjing liar, tetapi kali ini ia terjadi kepada ahli keluarga kami. Memang kami sangat risau sebab kita yang dewasa pun takut pada anjing, apatah lagi kanak-kanak,” katanya.
Sehubungan itu, Nur berharap pihak berkuasa mengambil tindakan segera dengan menangkap anjing-anjing liar yang berkeliaran di kawasan tersebut kerana mereka tidak mahu kejadian sama berulang.
Dalam kejadian pagi Sabtu lalu, Nur Haira ditemui terbaring dengan koyakan pada kepala dan muka selepas diserang lima ekor anjing liar di hadapan rumah neneknya, Darlinda Darlis, 56.
Susulan kejadian itu, polis membuka dua kertas siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana pengabaian kanak-kanak dan Seksyen 289 Kanun Keseksaan kerana kecuaian berkenaan dengan haiwan. – KOSMO! ONLINE
The post Serangan anjing: Nur Haira stabil, selamat jalani pembedahan appeared first on Kosmo Digital.





