
PETALING JAYA, – Sebanyak 9,286 barangan elektrik dipercayai tidak mempunyai kelulusan dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kuala Lumpur dalam serbuan di sebuah gudang persendirian di Bukit Belimbing, Seri Kembangan baru-baru ini.
Sitaan membabitkan pelbagai jenis barangan elektrik itu dianggarkan berjumlah RM1.01 juta, manakala duti import dan cukai berjumlah RM323,904, menjadikan nilai keseluruhan sebanyak RM1.33 juta.
Pengarah Kastam Kuala Lumpur, Wan Norizan Wan Daud berkata, serbuan pada 13 Oktober itu dilakukan hasil maklumat risikan daripada Ibu Pejabat JKDM.
“Pemeriksaan menemukan sebanyak 9,286 barangan elektrik pelbagai jenis dan fungsi dipercayai tidak mempunyai Perakuan Kelulusan (CoA) Suruhanjaya Tenaga dan Sirim Berhad.
“Semasa serbuan dijalankan, pihak berkenaan gagal mengemukakan dokumen kelulusan yang sah bagi barangan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 60-an yang juga pengurus gudang ditahan bagi membantu siasatan. Siasatan sedang dijalankan bagi mengesan pemilik barangan elektrik tersebut.
Berdasarkan modus operandi, barangan elektrik tersebut diseludup masuk tanpa kelulusan sebelum dijual kepada pengedar menggunakan invois pembelian tempatan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana menyimpan atau memiliki barang tidak berkastam atau barang larangan import.
“Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam di 1-800-88-8855 atau pejabat kastam terdekat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Serbu gudang, rampas RM1.33 juta barangan elektrik ‘haram’ appeared first on Kosmo Online.




