sarah06/11/2026 - 14:36 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Nov - Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Berhad (MHB) menyelesaikan penerbitan sukuk Murabahah bernilai RM350 juta bagi membiayai perbelanjaan modal, keperluan operasi dan tujuan korporat lain kumpulan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, MHB berkata, penerbitan tersebut dilaksanakan di bawah program sukuk Murabahah bernilai sehingga RM1 bilion yang dilancarkan pada 2014, dengan penerbitan pertama sebanyak RM20 juta dibuat pada September 2016.
Penerbitan terbaharu itu dibahagikan kepada dua siri, masing-masing bernilai RM130 juta bagi tempoh tiga tahun dengan kadar keuntungan tahunan 4.48% dan RM220 juta bagi tempoh lima tahun pada kadar 4.69% setahun.
Kedua-dua siri sukuk berkenaan akan matang pada 6 November 2029 dan 6 November 2031, dengan pembayaran keuntungan dibuat setiap enam bulan, manakala jumlah prinsipal akan dibayar sepenuhnya apabila mencapai tarikh matang masing-masing.
Menurut MHB, hasil penerbitan sukuk itu akan digunakan untuk membiayai perbelanjaan modal, modal kerja, keperluan korporat am serta pendahuluan kepada syarikat dalam kumpulan, tertakluk kepada pematuhan prinsip Syariah.
Sukuk berkenaan menerima penarafan AA-IS dengan prospek positif daripada MARC Ratings Berhad, namun tidak mempunyai jaminan atau cagaran dan tidak akan disenaraikan atau diniagakan di Bursa Malaysia.
HSBC Amanah Malaysia Berhad bertindak sebagai penyelaras tunggal program sukuk tersebut, manakala HSBC Amanah dan Maybank Investment Bank Berhad dilantik sebagai penasihat utama bersama, pengatur utama bersama serta pengurus utama bersama.
Pinjaman meningkat, pemodenan limbungan diteruskan
MHB menjelaskan penerbitan sukuk itu akan meningkatkan jumlah pinjaman dan nisbah hutang kumpulan serta menambah kos pembiayaan sepanjang tempoh sukuk, tetapi tidak dijangka memberi kesan material serta-merta terhadap aset bersih atau pendapatan sesahamnya.
Sebagai latar belakang, DagangNews.com pada 9 Julai 2026 melaporkan bahawa MHB meneruskan usaha memodenkan limbungan di Pasir Gudang melalui penggunaan automasi dan pendigitalan, dengan pelaburan dianggarkan antara RM150 juta hingga RM200 juta bagi meningkatkan produktiviti serta kecekapan operasi kumpulan.
Dalam pengumuman sama, MHB turut memaklumkan bahawa pengarah bukan eksekutif bukan bebasnya, Raja Azlan Shah Raja Azwa, telah mengisytiharkan potensi konflik kepentingan berhubung penerbitan sukuk tersebut, tanpa memperincikan sifat konflik berkenaan.- DagangNews.com






