
KOTA BHARU: Setahun tidak bertemu mata, seorang pengawal keselamatan tergamam menerima berita kematian bekas isteri dan anaknya dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 38.5 Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli dekat Tasik Banding, Gerik di Perak, semalam.
Kemalangan kira-kira pukul 1.30 petang itu mengorbankan Al Zubair Deraman, 31; Nik Mohamad Hafiz Daniel Nik Hairey, 19; Tuan Shazrin Tuan Mud, 40, dan anak perempuannya, Safiyya Haura, 3.
Seorang mangsa iaitu anak tiri kepada Allahyarham Tuan Shazrin yang bekerja sebagai tukang urut di Tanjung Piandang, Perak, Mohamad Shiraz Hammani Abdul Fatah, 9, masih koma.
Bekas suami kepada Tuan Shazrin, Mohamad Sanuzi Mohd. Nawi, 33, berkata, Allahyarham ada menghantar pesanan menerusi aplikasi WhatsApp kepadanya memaklumkan bahawa dia bersama anak dan anak tirinya akan pulang bercuti di Kelantan selama empat hari.
Katanya, dia sudah hampir setahun tidak bertemu dengan bekas isterinya itu selepas berpisah dengan wanita tersebut.
“Arwah ada menghantar mesej memaklumkan mereka bertolak balik dari rumahnya di Tanjung Piandang ke Kelantan dengan menumpang kereta kenalan.
“Hampir 10 jam saya menunggu mereka, tetapi tiada khabar berita. Mesej juga tidak berbalas. Saya hanya mengetahui berita kematian bekas isteri dan anak kira-kira pukul 8 malam selepas menerima panggilan telefon dari Hospital Taiping,” katanya ketika ditemui pemberita di Masjid Umari, Mukim Telaga Bata, Sering di sini hari ini.
Mohamad Sanuzi berkata, pihak hospital turut memaklumkan Mohamad Shiraz mengalami patah tangan, patah paha, pendarahan dalam kepala dan masih koma.
Katanya, bekas isterinya ada memaklumkan bahawa dua lelaki yang datang dari Kelantan dengan menaiki kereta jenis Perodua Axia ke Tanjung Piandang merupakan kenalan yang baru dikenalinya.
“Arwah ada memaklumkan dia akan melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi, namun bukan dengan dua mangsa yang turut maut dalam nahas itu,” ujarnya.
Katanya, jenazah bekas isteri dan anaknya dikebumi di Tanah Perkuburan Kubur Dusun, Sering di sini malam ini. – UTUSAN
-Habis-
The post Setahun tidak berjumpa, lelaki terkedu bekas isteri dan anak maut nahas di Gerik appeared first on Utusan Malaysia.






