
Ucapan bapa kepada pelakon dan penyanyi, Bella Astillah di hari bahagia anaknya bersama Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengundang suasana penuh emosi ketika majlis perkahwinan pasangan bahagia itu.
Menerusi video yang dikongsikan Astro Gempak di TikTok, bapa Bella, Awang Astillah, menyampaikan ucapan penuh makna buat anak perempuannya sebelum menitipkan pesanan buat Syed Saddiq yang bakal memikul tanggungjawab sebagai seorang suami.
Pesanan Bapa Bella
Bagi ucapannya kepada Bella, beliau meluahkan rasa bangga terhadap ketabahan anaknya yang telah melalui pelbagai cabaran dalam kehidupan.
"Ayah nak kamu tahu, perjalanan hidupmu tidak mudah tapi ayah bangga sebab kamu tetap kuat, tetap tersenyum dan tetap memilih untuk meneruskan hidup dengan hati yang baik," katanya.
Bapa Bella kemudiannya mengalihkan perhatian kepada Syed Saddiq dengan menyampaikan pesanan penuh makna buat menantunya itu.
"Dan kepada Saddiq, ayah dan mama sudah jaga Bella selama 32 tahun dan hari ini ayah serahkan amanah dan tanggungjawab itu kepada Saddiq.
"Jagalah dia sebaik-baiknya, setialah dengan satu orang, jatuh cintalah dengan orang yang sama setiap hari, fokuslah kepada dia, jagalah hati dan sama-samalah memperjuangkan rumah tangga ini," tambahnya lagi.
Pesanan berkenaan membawa maksud yang cukup mendalam dan penuh makna, apabila seorang bapa menyerahkan kepercayaan dan tanggungjawab untuk menjaga anak perempuan kesayangannya kepada seorang lelaki yang bakal menjadi teman hidupnya.
Perkongsian tersebut mengundang perhatian pengguna media sosial, malah ramai yang turut menyatakan sebak mendengar ucapan itu.
“Saddiq Dan Bella Tak Dapat Tunaikan Hajat Tun...” Syed Saddiq Kenang Pertemuan Terakhir Dengan Tun Dr Siti Hasmah
"Another Level" Bukan Hantaran Biasa, Syed Saddiq & Bella Berbalas Hadiah Istimewa
“Doakan,” Dari Parlimen Terus Ke Merdeka 118, Syed Saddiq Mohon Doa Menjelang Hari Pernikahan
Sesungguhnya, di sebalik sebuah perkahwinan, tersimpan doa dan pengorbanan ibu bapa yang hanya mengharapkan anak mereka untuk terus disayangi, dihargai dan menemui kebahagiaan bersama insan yang menjadi pilihan hati.
Terdahulu Syed Saddiq dan Bella sah menjadi suami isteri dengan sekali lafaz dalam majlis ijab kabul yang diadakan di Merdeka 118 pada pagi Sabtu.





