
PETALING JAYA: Penyanyi, Fieya Julia, menegaskan bahawa orang lain tidak mempunyai sebarang hak untuk sibuk atau masuk campur dengan apa-apa hantaran di media sosial terutamanya melibatkan individu yang menggunakan penyaring muka atau ‘filter’.
Fieya atau Nur Syafiyah Sejali, 27, berkata, setiap individu mempunyai tahap keyakinan serta gaya tersendiri yang perlu dihormati.
“Dulu selalu persoalkan kenapa orang pakai penyaring muka untuk mencantikkan muka dalam gambar atau video, sedangkan mereka memang sudah cantik? Tapi bila kita sudah faham yang setiap orang ada tahap keyakinan dan gaya masing-masing.
“Baru kita tahu yang kita ini tiada hak pun untuk sibuk dengan apa yang orang lain mahu buat.
“Kenapa kita perlu persoalkan sesuatu yang boleh buat mereka gembira dan lebih percaya diri?” katanya menerusi satu hantaran di Threads miliknya.
Fieya berkongsi perkara berkenaan susulan sikap sesetengah individu yang gemar mempertikaikan tindakan orang lain menyunting gambar menggunakan penyaring muka.
Untuk rekod, Fieya merupakan peserta Big Stage musim kedua dan popular dengan solonya yang berjudul Perasaanku.
The post Setiap orang ada tahap keyakinan tersendiri, jangan sibuk dengan apa orang lain buat – Fieya Julia appeared first on Utusan Malaysia.




