
PETALING JAYA: Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar sudah menghantar surat pengesahan untuk bertanding merebut kerusi No.1 Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Perkembangan itu sekaligus menyaksikan bekas Exco FAM itu mendapat restu daripada Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk bertanding pada kongres FAM pada 17 September ini.
Menerusi satu hantaran ringkas, Shahril memaklumkan proses penghantaran borang pencalonannya sudah selesai, sekali gus mengesahkan kesediaannya untuk bersaing dalam perebutan kerusi panas FAM.
“Salam, Alhamdulillah saya dah submit,” katanya.
Sebelum ini, Shahril berkata, keputusan sama ada menerima atau menolak pencalonan bagi jawatan No.1 badan induk bola sepak negara itu perlu dibuat selepas beliau berbincang dengan Tengku Amir yang juga Presiden FAS.
Shahril antara nama yang dilihat berpotensi mengisi kerusi Presiden FAM, terutama berdasarkan latar belakangnya dalam bidang korporat selain penglibatan yang lama dalam arena bola sepak.
Pemilihan Presiden FAM 17 September ini dijangka membabitkan saingan tiga penjuru antara Shahril, Presiden Kehormat FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin dan Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan.
Bagaimanapun, Ab Ghani dan Hamidin masih belum memuktamadkan pendiriannya meskipun menerima pencalonan untuk jawatan berkenaan.
Perkembangan itu menjadikan perebutan kerusi tertinggi FAM semakin menarik untuk diperhatikan dan hari ini, FAM dijangka mengumumkan senarai nama calon yang akan bertanding.-UTUSAN
The post Shahril sah rebut kerusi presiden FAM appeared first on Utusan Malaysia.






