
PETALING JAYA: Perang pemilihan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bermula selepas badan induk bola sepak negara itu dijangka mengumumkan senarai calon yang bertanding merebut 11 kerusi, hari ini.
Kongres pemilihan FAM akan berlangsung pada 17 September ini dengan perebutan kerusi presiden akan menjadi tumpuan utama membabitkan tiga calon yang mempunyai kekuatan masing-masing.
Tiga calon berkenaan ialah Presiden Kehormat FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin, Presiden Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan dan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar.
Pemerhati sukan negara, Datuk Dr. Pekan Ramli berkata, semua pihak kini mengharapkan satu pertandingan yang telus berlaku dan bukannya sekadar ‘wayang’ yang sudah diatur di sebalik tabir.
“Ada pertandingan (jawatan presiden), kita harap ada pertandingan yang telus, tidak mahu pertandingan ini sebenarnya sudah diatur dan pemenang sebagai proksi saja, sebaliknya kena ada kemahuan untuk transformasi FAM.
“Kita tidak mahu ada plot yang sudah ditetapkan dan kita juga tidak mahu presiden baharu nanti, tidak sampai setahun letak jawatan kerana banyak halangan atau tidak mampu bawa mandat ahli gabungan, rakyat dan peminat.
“Kalau ada calon baharu yang terpilih, janganlah selama ini ‘berkokok’ di luar gelanggang, tetapi apabila masuk dalam gelanggang ‘kecut perut’, seperti kata orang ada tak menambah, tidak ada pun tidak mengurang.
“Kita bukan nak cari penumpang kerana ia tidak diperlukan dalam FAM. Walaupun ada pimpinan 15 ke 20 orang sekali pun, kalau semua (jadi) ‘followers’ tidak ada guna,” kata Pekan.
Sebelum ini, media melaporkan 17 muka lama dan 11 calon baharu mendapat pencalonan, namun jumlah akhir dijangka akan dinoktahkan hari ini sejurus senarai akhir dikeluarkan oleh FAM.
Sementara itu, pemerhati bola sepak tempatan, Prof. Madya Dr. Zulakbal Abd Karim akui teruja kerana ramai yang berminat untuk bertanding namun objektif utama harus menjadi hal terpenting buat ahli gabungan sebelum mengundi.
“Persaingan hebat apabila ada ramai individu yang tawarkan diri untuk bertanding. Akhirnya kita nak tengok benda baik tetapi perkembangan ini adalah permulaan yang bagus untuk pemilihan-pemilihan akan datang,” katanya.-UTUSAN
The post Perang pemilihan FAM bermula appeared first on Utusan Malaysia.






