
PENGUMUMAN senarai akhir calon yang dijangka diumumkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), hari ini menandakan ‘peperangan besar’ bagi merebut jawatan pada kongres pemilihan, 17 September ini sudah pun bermula.
Fokus utama pastinya tertumpu kepada perebutan jawatan presiden, di mana ia dikatakan membabitkan tiga nama, Presiden Kehormat FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin, Presiden Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan dan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar.
Pemerhati sukan, Datuk Dr. Pekan Ramli berharap ia akan menjadi pertandingan yang telus dan semua yang bertanding mempunyai matlamat untuk memastikan perubahan berlaku dalam FAM.
“Ada pertandingan (perebutan jawatan presiden), kita harap ada pertandingan yang telus, tidak mahu pertandingan ini sebenarnya sudah diatur dan (pemenang jawatan) sebagai proksi saja, sebaliknya kena ada kemahuan untuk transformasi FAM.
“Kita tidak mahu ada plot yang sudah ditetapkan dan kita juga tidak mahu presiden baharu nanti, tidak sampai setahun letak jawatan kerana banyak halangan atau tidak mampu bawa mandat ahli gabungan, rakyat dan peminat.
“Kalau ada calon baharu yang terpilih, janganlah selama ini ‘berkokok’ di luar gelanggang, tetapi apabila masuk dalam gelanggang ‘kecut perut’, seperti kata orang ‘ada tak menambah, tidak ada pun tidak mengurang’.
“Kita bukan nak cari penumpang kerana ia tidak diperlukan dalam FAM. Walaupun ada pimpinan 15 ke 20 orang sekali pun, kalau semua (jadi) ‘followers’ tidak ada guna,” katanya.
Berdasarkan laporan media tempatan, 17 muka lama dan 11 calon baharu mendapat pencalonan, namun jumlah akhir dijangka akan dinoktahkan hari ini sejurus senarai akhir dikeluarkan oleh FAM.
Sementara itu, pemerhati bola sepak tempatan, Prof. Madya Dr Zulakbal Abd Karim akui teruja kerana ramai yang berminat untuk bertanding, namun objektif utama harus menjadi hal terpenting buat ahli gabungan sebelum mengundi.
“Persaingan hebat apabila ada ramai individu yang tawarkan diri untuk bertanding. Akhirnya kita nak tengok benda baik, tetapi perkembangan ini adalah permulaan yang bagus untuk pemilihan-pemilihan akan datang,” katanya.
The post ‘Perang’ rebut jawatan bermula appeared first on Kosmo Digital.






